Sesuai dengan peralihan kepimpinan Umno dari 'oder lembik' (Pak
Lah Badawi) kepada 'oder keras' (Najib Razak), kepimpinan baru sedang
bersemangat untuk melakukan transformasi bagi menjamin Umno menjadi
sebuah parti yang gah dan berintegriti selama-lamanya.
Maka
proses pemilihan pemimpin pun dibuat secara baru. Dalam kaedah baru ini
sistem kouta sudah tiada lagi, sesiapa saja boleh bertanding merebut
jawatan tertinggi di peringkat presiden, timbalan presiden, ketua
pemuda, wanita, puteri atau ahli MT.
Sesiapa sahaja boleh mendaftarkan diri untuk bertanding dengan syarat
namanya masih ada dalam buku pendaftaran Umno. Itu sahaja. Jangan hirau
apakah seseorang itu layak, aktif ataupun sepanjang masa berkhidmat
kepada parti dan ahli di kawasannya atau tidak.
Kalau pun dia berada di negeri lain tetapi kalau
namanya sebagai ahli di dalam kawasan di negeri asalnya ada, dia tetap
dikira layak untuk bertanding merebut apa-apa jawatan di peringkat
bahagian itu.
Begitu juga dengan pengundian, dahulu semua pengundian untuk jawatan
tertinggi dilakukan pada hari perhimpunan agung. Mereka yang menjadi
perwakilan dari bahagian yang menentukan. Tetapi hari ini pengundian
dilakukan diperingkat bahagian dengan melibatkan lebih ramai ahli yang
membuat piilihan, sebanyak 140,000 berbanding dahulu sekitar 1,500 orang
ahli saja.
Ini pun kalau hendak dikata proses baru ini terbuka dan demokratik,
masih boleh dipertikaikan kerana angka yang dibenarkan mengundi itu jauh
lebih rendah dari keahlian Umno yang kini sudah mencecah 3.4 juta?
Mungkin di peringkat pusat kaedah baru ini berkesan kerana ia ada
peraturan untuk menentukan apakah seseorang itu layak mendaftarkan diri
bagi bertanding jawatan peresiden timbalan, naib atau ahli MT. Mereka
diperlukan duduk dalam jawatan kuasa bahagian dalam tempoh tertentu.
Ertinya pencalonan untuk jawatan itu ada juga syarat-syarat dan
pemantauannya.
Tetapi diperingkat bahagian syaratnya agak longgar dan semacam terbuka
tanpa ada tapisan langsung. Misalnya sesiapa saja boleh daftar diri
bertanding apa sahaja asalnya dia menjadi ahli Umno. Tidak ada sebarang
syarat tambahan lain untuk mana-mana calon. Disebabkan terkebukaan ini
ia menimbulkan sedikit kecatatan dan menjadikan kaedah pemilihan baru
'lus' bukannya telus.
Ambil dua contoh yang berlaku di Kelantan dan pasti juga berlaku di
negeri lain. Ada ahli yang sudah lama meninggalkan bahagian, tidak
menjadi ketua peringkat cawangan tetapi boleh bertanding kerana nama
mereka adal dalam daftar keahlian. Melucukan lagi di peringkat cawangan
sendiri pun mereka kalah hatta untuk jadi perwakilan ke bahagian pun
tidak layak tetapi boleh mendaftarkan diri bagi bertanding ketua
bahagian.
Dalam kes lain pula calon itu sudah pun mengistyharkan diri keluar parti
dan menyertai Pas sebanyak dua kali. Tetapi masih layak mendaftar diri
sebagai calon ketua bahagian tanpa bantahan. Dimanakah moral dan
integriti kaedah itu kalau hal-hal begitu masih dibiarkan. Rasanya semua
orang tahu bahawa ahli berkenaan sudah mengistyharkan diri keluar
parti. Apakah pengistyharan itu tidak secara automatik ia sudah keluar
menjadi ahli Umno? Anih binti ajaib.
Dalam satu lagu kes seorang calon timbalan sudah didapati bersalah oleh
parti kerana melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah parti di dalam
pilihan raya tetapi masih dibenarkan bertanding mempertahankan
kedudukannya sebagai timbalan ketua bahagian.
Manakala dalam satu kes lain ada calon ketua puteri Umno bahagian di
mana cawangan pimpinannya sendiri sudah mati. Tetapi dia masih
dibenarkan bertanding jawatan ketua puteri. Seharusnya perkara itu
menjadi syarat bagi melayakan mereka mendaftarkan diri bertanding untuk
apa-apa jawatan.
Macam mana mereka ini yang sudah ternyata lemah, cacat dan tidak komited
dengan parti dibenarkan bertanding merebu jawatan. Bukankah pemilihan
untuk mendapatkan seorang ketua yang berwibawa, integriti dan
sebagainya. Kalaulah calon-calon catat atau cemar begitu dibenarkan
bertanding ia tidak akan mencapai matlamat diharapkan.
Paling bahaya ialah bagi calon yang berada di luar tiba-tiba balik
bertanding. Mereka tidak ada rangkaian di peringkat bahagian. Dalam erti
kata lain tidak ada budi dan jasa. Mereka tidak ada aset untuk mendapat
sokongan perwakilan. Dalam situasi sebeginilah rasuah politik akan
berlaku. Mereka sudah tentu menggunakan wang untuk meraih sokongan.
Seharusnya pemilihan di peringkat bahagian perlu dipantau dan dikenakan
syarat-syarat tertentu kepada setiap calon. Syarat mungkin tidak begitu
sofisikated sangat tetapi cukup menggariskan beberapa peraturan mudah
seperti setiap calon yang hendak bertanding di peringkat bahagian mesti
melepasi tapisan ringan cawangan terlebih dahulu. Semisalnya mereka
hendaklah menjadi ketua cawangan dan cawangan itu pula harus aktif.
Syarat lain boleh ditambah, pastikan mereka berada dalam kawasan atau
secara umumnya mendapat sokongan moral sekurang-kurang 1/3 daripada
cawangan. Begitu juga mereka yang diragui keahlian atau pun pernah
digantung atau melakukan sebotaj kepada parti, dihukum dengan apa-apa
bentuk hukuman dan kesalahan hendaklah dihalusi oleh pihak pimpinan
negeri.
Tujuan dikenakan syarat-syarat sebegini bagi menjamin proses pemilihan
berjalan atas aspirasi yang dikehendaki dan ianya tidak akan diketawakan
oleh orang ramai dan juga pemerhati.
Sekiranya kecacatan dan kecemaran kecil dalam proses pemilihan cara baru
ini tidak diperbetulkan, transformasi yang dilakukan Najib Razak yang
disifat sebagai berani oleh para pemujanya ia tidak membawa apa-apa erti
besar. Pemerhati khasnya bukan saja tidak nampak dimanakan dinamikanya
proses itu melainkan ia hanya satu iklan murah semurah iklan sabun di tv
hitam putih sahaja.
No comments:
Post a Comment