Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh ( gambar ) mengambil pendekatan
tidak popular apabila dengan tegas melarang empat wanita Islam daripada
menyertai pertandingan Miss Malaysia World baru-baru ini.
Ketegasan Wan Zahidi telah menyelamatkan satu lagi percubaan
memperlekehkan Islam di negara ini selepas beberapa pihak lebih
menyelamatkan kuasa politik berbanding Islam. Sebenarnya larangan
terhadap wanita Islam menyertai Miss Malaysia World bukan perkara
baharu.
Pada 1996 sudah dikeluarkan fatwa yang melarang
penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu yang memakai pakaian
mandi yang mendedahkan aurat. Sepatutnya tanpa fatwa sekalipun, sudah tidak ada wanita Islam yang
menyertai Miss Malaysia World di atas sebab yang disebutkan di atas
tadi. Tidak perlu menunggu larangan dikeluarkan oleh pihak berkuasa
agama Islam kerana menyertai pertandingan ratu bukanlah suatu yang dapat
mempertingkatkan kesucian Islam malah merendah dan sekaligus menghina
Islam. Empat peserta Islam itu ialah Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna
De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan.
Salah seorang peserta, Sara Amelia berhujah, selepas fatwa itu
dikeluarkan, ada peserta Islam misalnya Rima Fakih pernah memenangi
pertandingan itu di Amerika Syarikat (AS) pada 2010 dan Hammasa
Kohistani yang beragama Islam memenangi Miss England pada 2006. Dia
merujuk penyertaan peserta Islam di luar negara sebagai asas kukuh untuk
mewajarkan menyertai Miss Malaysia World.
Dia perlu sedar bahawa ada juga orang Islam yang menjadi pembunuh dan
penjahat, tetapi bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa perbuatan itu
dibenarkan oleh Islam? Bagaimanapun biarlah kerana pandangan itu datang
daripada orang yang berfikiran singkat dan bertujuan melepaskan diri. Tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertenggek di atas nama
Islam dianggotai pula oleh kelompok cerdik pandai, Sisters In Islam
(SIS) bukan mempertahankan larangan itu sebaliknya mencabar di segi
kesahihan undang-undang. Kenyataan SIS yang disiarkan dalam sebuah
portal berita baru-baru ini bukanlah suatu yang memeranjatkan kerana
sejak lama dahulu SIS sentiasa memberikan kenyataan yang mencabar pihak
berkuasa agama Islam.
Sepatutnya kenyataan SIS yang mempertikai bahawa fatwa melarang wanita
Islam menyertai pertandingan itu kerana tidak diwartakan sebagai
undang-undang tidak perlu dilayan. Tetapi memandangkan pertubuhan ini
menggunakan nama Islam, masyarakat wajar dijelaskan bahawa isunya
bukanlah larangan itu menjadi undang-undang atau tidak, tetapi untuk
menyelamatkan wanita Islam terjerumus dalam agenda yang mencemarkan
Islam.
SIS menganggap larangan atau fatwa yang dikeluarkan pada 1996 itu
sebagai tidak Islamik, tidak demokratik dan melanggar hak asasi. SIS
sudah tentu menjadi wira dalam isu ini kepada pihak yang mahu
menjerumuskan Islam dalam acara yang tidak bertamadun ini. Pihak yang
selalu melabelkan orang Islam sebagai konservatif dan anti kemajuan
sudah pasti mengiktiraf SIS sebagai agen pembudayaan baharu terhadap
Islam.
Untuk makluman SIS, tidak semua larangan dalam Islam itu diwartakan
sebagai undang-undang. Apa yang dilakukan oleh seorang peserta Miss
Malaysia World adalah perkara asas yang dilarang dalam Islam sekalipun
kononnya penganjur berjanji peserta Islam hanya memperagakan pakaian
sukan. Sekiranya berjaya ke peringkat Miss World, pernahkah kita melihat
peserta akhir berpakaian sukan? Islamik sangatkah penganjur Miss World
untuk mengasingkan peserta Islam dan bukan Islam?
SIS menganggap larangan ini sebagai tidak demokratik dan melanggar
kebebasan hak asasi manusia. Adakah ini bermakna larangan ke atas orang
Islam supaya jangan minum arak atau makan daging babi adalah melanggar
hak asasi manusia?
Kalau begitu perbuatan sepasang remaja Cina yang mempromosi sup tulang
babi sebagai menu berbuka puasa bukan satu kesalahan kerana makan sup
tulang babi tidak diwartakan sebagai undang-undang di mana-mana negeri
di negara ini.
Kebebasan
Agak malang kerana SIS memperjuangkan hak asasi keempat-empat wanita
Islam kerana Mufti Wilayah Persekutuan telah menghalang kebebasan hak
asasi mereka menyertai Miss Malaysia World. Tetapi pada masa yang sama
SIS tidak memperjuangkan Islam kerana tidak melihat larangan mufti itu
sebagai satu usaha pemurniaan Islam. Adakah bagi SIS empat wanita Islam
itu sebagai golongan teraniaya kerana kebebasan mereka telah dihalang
sekalipun membuat perkara yang boleh mencemarkan Islam?
Kontroversi ini juga boleh diambil iktibar oleh orang Islam sendiri yang
menjadi penganjur pertandingan ratu di negara ini. Barangkali penganjur
Miss Malaysia World melihat orang Islam sendiri kerap menganjurkan
pertandingan ratu (walaupun bukan berpakaian mandi), jadi apa salahnya
dia membuka penyertaan kepada wanita Islam.
Kita patut bertekad supaya perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada
ketinggian Islam dan tamadun budaya tidak diteruskan lagi. Walaupun
tidak ada larangan menganjurkan pertandingan ratu di negara ini, tetapi
tidak usahlah diteruskan lagi. Kononnya menghargai kecantikan wanita
tetapi caranya memperalatkan secara bertentangan dengan Islam.
Malah tidak ada pertandingan ratu tidak memundurkan masyarakat. Belum
ada lagi pertandingan ratu yang dianjurkan di negara ini menyumbang
kepada pembangunan manusia. Binalah kesedaran sendiri supaya apabila ada
larangan oleh pihak berkuasa, ia tidak dianggap menghalang kebebasan
hak asasi.
Kita jangan tunggu SIS kerana syor supaya orang Islam tidak menjadi
penganjur ratu tidak diwartakan sebagai undang-undang. SIS tidak akan
sokong syor ini kerana selagi tidak dijadikan undang-undang, ia satu
pelanggaran terhadap hak asasi manusia. Nampaknya bagi SIS, kebebasan
hak asasi lebih penting daripada melarang orang Islam supaya jangan
menghina agamanya. ~the malaysian insider
No comments:
Post a Comment