Abu Abas, nama
sebenarnya Sahal bin Sa’ad as-Sa’idi melaporkan: “Suatu ketika ada
seorang lelaki lalu di hadapan Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW
bertanya kepada seorang sahabat yang duduk di sebelah beliau: Apa
pendapat saudara berkenaan orang ini?
“Sahabat itu menjawab: Orang ini
ada kedudukan dan mulia dalam masyarakat. Demi Allah, sekiranya dia
meminang memang patut pinangannya diterima. Sekiranya dia meminta supaya
orang lain menyalurkan bantuan, memang patut permintaannya dipenuhi.
“Nabi Muhammad diam saja. Kemudian seorang lelaki lain pula lalu. Nabi
bertanya lagi kepada sahabat tadi: Apa pendapat saudara berkenaan orang
ini? “Sahabat itu menjawab: Wahai pesuruh Allah, orang ini datang
daripada golongan orang Islam yang miskin. Sekiranya dia meminang,
memang patut pinangannya ditolak. Sekiranya dia meminta supaya orang
lain menyalurkan bantuan, memang patut permintaannya tidak diendahkan.
Sekiranya dia bercakap, memang patut kata-katanya tidak didengari. “Nabi
Muhammad pun menerangkan: Orang ini lebih baik sebanyak sepenuh bumi
berbanding orang tadi.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Abu Sa’id al-Khudri
melaporkan: “Nabi Muhammad menerangkan, syurga dan neraka pernah
bertengkar. Kata neraka: Orang perengus yang suka memaksa orang lain dan
orang yang angkuh ada dalam syurga. Kata syurga: Orang yang lemah dan
miskin ada dalam saya. “Allah pun meleraikan mereka, kata-Nya: Kamu
syurga adalah rahmat kasih sayang-Ku. Denganmu nanti Aku merahmati
sesiapa yang Aku inginkan. Dan kamu pula neraka, adalah azab seksaan-Ku.
Denganmu nanti aku menyeksa sesiapa yang Aku inginkan. Aku pasti akan
memenuhkan kamu berdua.” (riwayat Muslim)
Usamah Zaid
melaporkan, Nabi Muhammad menerangkan: “Saya berdiri di hadapan pintu
syurga. Kebanyakan orang yang masuk ke dalamnya adalah orang miskin.
Orang kaya pula masih ditahan untuk dikira amalan mereka, kecuali mereka
yang memang ahli neraka, diarahkan masuk ke dalam neraka. Kemudian saya
berdiri di hadapan pintu neraka. Kebanyakan orang yang masuk ke
dalamnya adalah orang perempuan.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Buku Riyadus Solihin Taman Orang Soleh
http://bicarasantai2011.blogspot.com
No comments:
Post a Comment