Saya terasa teringin untuk menulis sesuatu hari ini. Agak lama tidak menyatakan pandangan,
mungkin kerana terpaksa menahan diri dari melakukannya kerana ada
tugas penting yang perlu diselesaikan tanpa memberi peluang kepada
mana-mana pihak mentelaah secara negatif.
Semalam setelah semuanya selesai maka sementara duduk di rumah elok dituliskan sesuatu agar mampu memberi sedikit pencerahan. Ramai
melihat agenda melantik Menteri Besar di Selangor dan barisan Exco
dengan kanta pandang dekat; seramai mungkin yang mahu memberi pandangan
walaupun dalam banyak masa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat
tepat untuk membuat komen.
Maka wujudlah beberapa siri
perbincangan panas antaranya Istana campurtangan dalam pemilihan Exco,
politik kuno berpaksikan kaum, politik order lama yang tidak sensitif
gender dan bermacam lagi.
Bila ada ura-ura kononnya istana atau
lebih khusus lagi DYMM Sultan cuba memberi nasihat dan pandangan dalam
pelantikan Exco maka terus sahaja kita membuat kesimpulan bahawa Tuanku
mahu campurtangan dalam pentadbiran negeri, baginda seorang yang rasis
dan hanya memihak kepada orang Melayu.
Tidak sedikit yang menyatakan rasa marah dan tersinggung serta kesedihan mereka dengan berita tersebut.
Ramai
kita terlupa bahawa politik Pakatan Rakyat yang kita bawa adalah
politik baru dengan semangat politik inklusif, yakni ruang bersuara dan
memberi pandangan terbuka luas kepada semua pihak dan saya
berpandangan ianya tidak terkecuali kepada pihak istana.
Lebih
malang apabila timbul cerita bahawa pihak istana mahu formula 6:4
(Melayu: Bukan Melayu) digunapakai dan isu kaum terus dimainkan tanpa
cuba melihat mungkin ada sudut lain yang lebih positif dan membina yang
boleh dilihat.
Bila kita lihat keputusan 15:15:14 PAS DAP dan
Keadilan, ini bermakna keputusan tersebut telah melonjakkan kerusi PAS
yang dahulunya hanya 8 kepada 15 kerusi.
Sedar atau tidak
dengan lonjakan tersebut telah sekaligus membenamkan tohmahan
Umno-Najib bahawa PRU13 adalah Tsunami Cina hingga membawa kepada
keceluparan melampau apabila mereka mengatakan “Apa lagi Cina mahu”.
Kawasan
majoriti Melayu di Sepang dan Sabak yang dimenangi oleh PAS telah
memusnahkan ego Datuk Seri Najib Razak dan kuncu utamanya Datuk Seri Ir
Md Zin.
Justeru, dengan memperolehi 15 kerusi amat wajar PAS
diberikan penghargaan kerana bukan sahaja memang mereka telah
melonjakkan kerusi PR hingga mendapat 3/4 majoriti di dalam Dewan
malahan telah menafikan jolokan Tsunami Cina yang cuba dimainkan oleh
Umno.
Ianya saya lihat telah menggagalkan usaha Umno untuk
memalukan masyarakat Melayu di Selangor hingga boleh mewujudkan
ketegangan kaum.
Saya berpendapat inilah yang cuba dibayangkan
oleh Tuanku semasa membuat keputusan untuk tetap memberi pandangan
kepada MB bahawa rayuan MB di saat akhir dengan tujuan memberi 4 kerusi
Exco kepada DAP tidak boleh dirai.
Namun, benar percakapan
umum bahawa politik terbaca atas persepsi dan bukan dari niat sebenar.
Maka persepsi menggambarkan Tuanku seperti anti Cina dan hanya
mementingkan politik orang Melayu.
Bagaimana hari ini? Setelah
melihat Pentadbiran PR Selangor dengan berani mencipta sejarah melantik
YB Hannah Yeoh sebagai Speaker lantas menjadi Wanita (Cina) pertama
yang menduduki kerusi tersebut adakah persepsi di atas masih terpakai?
Terbukti hari ini politik Selangor telah menjangkau ke hadapan — meninggalkan politik rasis dan gender ke belakang.
Tidak terfikirkah kita bahawa DYMM Tuanku juga memainkan peranan besar di dalam sejarah yang kita cipta ini?
Sejarah
mampu dicipta di Selangor ekoran dari proses konsultasi, tawar
menawar, tikaman lidah hingga mewujudkan kerjasama erat dan
kebijaksanaan Menteri Besar, pemimpin Pakatan Rakyat hatta dari
keperihatinan DYMM Tuanku sendiri.
Sebenarnya saya tidak hadir
pada Majlis Angkat Sumpah Exco yang penuh istidat dan bersejarah
semalam kerana khuatir kokokan batuk yang saya alami sejak PRU dahulu
akan mengganggu keharmonian upacara.
Meskipun saya dijemput sendiri oleh Dato Pengelola Istana tapi saya terpaksa menolaknya walau dengan hati yang berat.
Biarlah acara gemilang berlangsung cemerlang tanpa ada bunyi atau suara sumbang-garau yang mencemar majlis.
Cukup
sekadar menyediakan teks Sembah Ucapan Dato Menteri Besar kepada
Tuanku menjadikan saya seolah-olah berada di sana merai hari bahagia
rakyat Selangor.
Memandangkan saya ada kelapangan berada di
rumah, saya mengambil kesempatan membuat catatan ini dengan hasrat mahu
mengimbangi keghairahan kita memberi pendapat dengan harapan dapat
mengecapi politik ideal.
Ghairah mengketengahkan harapan agar tiada campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.
Harapan
agar politik tidak diukur dengan ras dan kaum. Harapan agar politik
kita terkeluar dari kekangan gender. Saya akui semua harapan itu memang
baik dan ideal; tidak keterlaluan jika saya katakana itulah suasana
politik yang didambakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah natijah dan hasil dari proses yang kita ambil dalam berpolitik.
Maksud
saya, apa yang kita lihat pada pagi tadi di Balairong Seri, Istana
Alam Shah, Klang. Pentadbiran Selangor membariskan barisan Exco yang
mempunyai cukup representasi dari Melayu, Cina dan India.
Selangor lengkap dengan reprentasi Wanita dalam Exco yakni sebanyak 40 peratus.
Selangor
mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya melantik seorang
Speaker Wanita berbangsa Cina dan Timbalan Speaker termuda di dalam
sejarah politik negara.
Pakatan Rakyat Selangor berjaya
membariskan barisan Exco profesional pelbagai bidang dan jurusan;
peguam, doktor, arkitek, dentis hatta s
seorang ilmuan agama seperti
Ustaz Solehin Muhyi.
Rakyat Selangor pula semuanya berbangga
menjadi rakyat di negeri Selangor yang telah memilih pimpinan mereka
yang pelbagai bidang.
Cuma satu perkara yang ingin saya
ketengahkan, di sebalik kegembiraan dan kebanggaan yang kita semua
rasai ketika ini, harus diketahui juga ianya bukan datang dengan
sendiri.
Bukan juga dengan campurtangan mana-mana pihak.
Ianya
adalah hasil dari proses bertikam lidah, konsultasi, perbincangan
serta tawar menawar yang dilakukan semua pihak; parti-parti politik,
pegawai eksekutif di pejabat Menteri Besar dan Pegawai di istana.
Malah
yang lebih besar lagi apabila DYMM Tuanku sendiri yang ada ketika pada
siri menghasilkan barisan Exco dan Speaker kebanggaan kita ini telah
sanggup mencemar duli.
Pada saya, sejarah semalam telah dicipta
semua orang baik dari keturunan Raja hinggalah pacal rakyat marhaen dan
budak suruhan pejabat serta para Bentara di istana.
Syabas
rakyat Selangor dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik menerajui
pentadbiran negeri. Selamat Menjalankan Tugas: bekerja demi rakyat
tanpa memihak kepada sesiapa dan tanpa rasa takut kepada manusia.
Sesungguhnya Rakyat Hakim Negara dan Allah pemilik sekalian alam
.
* by ;Faekah Husin merupakan setiausaha politik kepada Dato Menteri Besar Selangor.
No comments:
Post a Comment