Keadilan merupakan suatu perkara 
yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Keadilan merupakan tiang 
utama yang mengukuhkan sesebuah pemerintahan. Keadilan juga merupakan 
ikatan  yang dapat menautkan rukun dan kasih antara pemerintah dan yang 
diperintah. Keadilan juga menjadi jaminan utama sesebuah negara itu 
kekal aman, damai dan harmoni di bawah lembayung rahmat Allah SWT.
Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang 
menegaskan tentang konsep keadilan agar manusia dapat merasakan 
kepentingannya. Allah  menggunakan pelbagai istilah untuk mengungkapkan 
makna keadilan seperti kalimah ‘al-Adl’, ‘al-Qisth’, ‘al-Wajnu’, 
‘al-Wasth’ dan ‘al-Mizan’. Hal ini kerana keadilan  yang dituntut oleh 
al-Quran mempunyai konteks yang lebih luas, bukan hanya dalam proses 
menetapkan hukuman  atau menyelesaikan perselisihan sahaja. Bahkan 
al-Quran menuntut keadilan terhadap diri sendiri, baik dalam penulisan, 
pertuturan atau amal perbuatan.
Keadilan tidaklah patut ditafsirkan 
dengan kesamarataan atau kesaksamaan semata-mata. Keadilan juga tidak 
bermakna semua individu diberikan kebebasan sepenuhnya. Memahami 
definisi keadilan secara dangkal dan semberono mengakibatkan kita 
tenggelam di dalam pola pemikiran yang bersandarkan logik akal dan 
tenggelam dalam kemahuan hawa nafsu semata-mata. 
Dalam merungkaikan definisi 
keadilan, kita perlulah menjadikan wahyu Allah SWT sebagai rujukan utama
 untuk memandu kita memahami konsepnya yang sebenar. Firman Allah SWT, 
maksudnya: 
“Sesungguhnya, Allah menyuruh 
kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak 
menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah 
menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan 
(suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. 
Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah 
an-Nisa; Ayat 58)
Berdasarkan ayat tersebut, dapatlah 
kita rumuskan bahawa definisi yang paling tepat untuk merungkaikan 
maksud ‘Keadilan’ adalah, proses meletakkan sesuatu pada tempat yang 
sepatutnya, serta menyerahkan amanah kepada orang yang berhak 
menerimanya serta menjatuhkan hukuman dengan adil berpandukan syariat.
Melalui definisi ini, kita perlu 
memahami bahawa konsep keadilan memerintahkan agar amanah diserahkan 
kepada yang pihak berhak. Keadilan tidaklah bererti semua rakyat jelata 
mendapat hak yang setara. Ada perkara-perkara yang perlu sentiasa 
dipertimbangkan dan diperhalusi. Sebagai contoh; Seorang bapa mempunyai 
dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Satu hari, dia 
mahu menghadiahkan mereka pakaian. Untuk bersifat saksama, dibelikan 
kedua-dua mereka baju Melayu dan songkok. Adakah tindakan ini adil? 
Sudah pastilah tidak. Hal ini kerana si bapa menzalimi hak anak 
perempuan yang sewajarnya memakai baju kurung sebagai lambang 
kewanitaannya.
Islam amat menitik beratkan soal 
memilih pemimpin yang adil. Hal ini kerana soal kepimpinan mempunyai 
kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan akan dipersoalkan oleh
 Allah SWT terhadap kita pada hari kiamat. Di dalam kitab ‘al-Jami’ Li 
Ahkam al-Quran', Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa,  "Bagi umat Islam, 
dalam memilih pemimpin mestilah daripada golongan yang adil, ihsan dan 
mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin".
Di dalam al-Qur’an juga Allah 
menyuruh kita agar menjauhi pemimpin yang zalim. Sebagaimana dikisahkan 
tentang Nabi Musa yang lari dari kezaliman Firaun dan pembesarnya: 
“Dan datanglah seorang laki-laki
 dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata: Hai Musa, Sesungguhnya 
pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab 
itu keluarlah (dari kota ini) Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang
 memberi nasihat kepadamu. Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa
 takut dan waspada, dia berdoa: "Ya Tuhanku, selamatkanlah Aku dari 
orang-orang yang zalim itu". (Surah al-Qasas: Ayat 20-21)
Umat Islam juga perlu menjaga 
keimanan mereka dan melindungi diri mereka daripada kesesatan. Allah 
menukilkan kisah Ashab al-Kahfi yang gigih mempertahankan akidah dan 
keimanan mereka dengan melarikan diri daripada kezaliman Maharaja 
Decius:
“Dan oleh sebab kamu telah 
mengasingkan diri daripada mereka dan daripada sembahan-sembahan yang 
disembah mereka selain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di 
dalam gua nescaya Allah, Tuhan kamu melimpah kurniaan rahmat-Nya ke atas
 kamu dan menyediakan pertolongan terhadap  urusan kamu”.  (Surah 
al-Kahfi ; Ayat 16)
Allah SWT juga menegaskan bahawa 
urusan kepimpinan itu tidak akan diserahkan kepada orang yang zalim 
sekalipun mereka daripada keturunan yang mulia. Suatu ketika, Nabi 
Ibrahim berdoa memohon kepada Allah agar urusan kepimpinan diserahkan 
kepada zuriat baginda:  
“Sesungguhnya Aku melantikmu 
menjadi Imam bagi umat manusia. Ibrahim berdoa: (Dan saya mohon juga) 
daripada keturunanku. Allah  berfirman:  (Permohonanmu diterima tetapi) 
janji-Ku ini tidak mengenai orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah : Ayat 
124)
Sejarah Nabi Muhammad SAW yang 
berhijrah ke Madinah dari Makkah juga mempunyai kaitan yang amat 
signifikan. Perjalanan baginda sejauh 320 km yang  penuh dengan ujian 
dan cubaan itu merupakan manifestasi kepada kepentingan membentuk sebuah
 kerajaan yang adil dan saksama yang dikehendaki Allah SWT :
“Sesungguhnya orang-orang yang 
beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah 
(untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang 
mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi 
Maha Mengasihani.” (Surahal-Baqarah : Ayat 218)
Cuai memilih pemimpin boleh 
menyebabkan seseorang itu dimurkai Allah SWT, maka urusan memilih 
pemimpin bukanlah perkara main-main. Oleh itu, kita perlu sentiasa 
berhati-hati. Tersalah pilih boleh menyebabkan kita terperangkap di 
dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW: 
“Sesungguhnya kalian nanti akan 
sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak pada hari kiamat ia 
akan menjadi penyesalan.” (HR. Al-Bukhari) 
Untuk membuatkan kita tidak memilih 
pemimpin yang salah, terlebih dahulu kita perlu memahami apakah 
ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin yang adil di sisi 
Islam: 
1. Pemimpin yang adil wajib 
mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah. Dia seharusnya insaf 
bahawa mereka diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi hamba-Nya serta 
menggalas amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Prinsip ubudiyyah 
perlu diterapkan di semua peringkat pemerintahan. Firman Allah SWT:
“Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah  az-Zariyat : Ayat 56)
Kepimpinan yang adil wajib 
bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai teras utama 
pentadbiran dan panduan untuk menggubal undang-undang negara. Dia juga 
hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip masuliyyah di dalam 
melaksanakan amanah. Hal ini termasuklah mengambil tindakan sewajarnya 
dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang
 bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. 
Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya." (Riwayat al-Bukhari)
Seseorang pemimpin itu perlulah 
menjadikan tuntutan Allah lebih diutamakan daripada tuntutan majoriti 
rakyat. Sebagai contoh, tuntutan golongan  Lesbian, Gay, Bisexual dan 
Transgender (LGBT)  supaya hak mengamalkan gaya hidup songsang diperakui
 atas dasar hak asasi manusia tidak perlu dilayan . Hal ini kerana jika 
dituruti, akan mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan, 
mendatangkan kecelaruan pemikiran dan gangguan psikologi, tersebarnya 
penyakit berjangkit dan yang paling ditakuti, mendatangkan kemurkaan 
Allah SWT. 
2. Kekuatan fizikal, spiritual dan 
mental yang kuat juga amat penting. Hal ini kerana kekuatan fizikal 
dapat memastikan kepimpinannya sentiasa teguh dan tidak diganggu gugat 
oleh sesiapapun. Kekuatan spiritual juga penting untuk menjadikan 
pemimpin itu kental menghadapi segala fitnah dan cubaan yang melanda 
terutamanya dalam era teknologi dan maklumat hari ini.
Rakyat juga perlukan pemimpin yang 
mempunyai kebijaksanaan yang tinggi agar  rakyat yakin bahawa mereka 
sentiasa dipandu dengan wawasan, misi dan visi yang jelas. Pemimpin juga
 perlu pandai menggunakan segala peluang yang ada, bijak berdiplomasi 
dalam urusan antarabangsa, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan 
pertanian serta mentadbir hasil mahsul negara dengan efisien.  
Ciri-ciri ini ada pada Nabi Yusuf AS seperti diceritakan oleh Allah SWT:
“Jadikanlah aku pengurus 
perbendaharaan hasil negara (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya 
sebaik-baiknya lagi mengetahui cara mentadbirnya.  Dan demikianlah 
caranya Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia 
bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami 
limpahkan rahmat kepada yang Kami kehendaki, dan kami tidak 
menghilangkan balasan baik bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.” 
(Surah Yusuf : Ayat 55-56)
3. Seseorang pemimpin itu mestilah 
menjadikan kemaslahatan ummah sebagai  perkara utama yang perlu 
difikirkan di dalam setiap tindakan yang diambil.  Kemaslahatan ummah 
pula dapat dipelihara dengan menjadikan Maqasid al-Syariah sebagai 
landasan utama pentadbiran. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya 
'al-Mustashfa',  terdapat lima perkara penting yang perlu dipelihara 
dalam Maqasid al-Syariah  iaitu  agama (akidah), nyawa, akal, nasab 
keturunan dan harta. 
Maqasid al-Syariah ini jika 
dipelihara akan menyebabkan kebajikan disebarkan kepada rakyat dan 
mengelakkan kesusahan daripada menimpa mereka. Firman Allah SWT, 
maksudnya:
"Sesungguhnya telah datang 
kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi 
Muhammad SAW), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa
 kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan 
lagi penyayang terhadap orang yang beriman." (Surah at-Taubah : Ayat 
128)
4. Perbuatan pilih kasih perlu 
dijauhi oleh pemimpin yang adil. Para pemerintah dilarang untuk 
membeza-bezakan rakyatnya berdasarkan pangkat, darjat, keturunan, warna 
kulit, atau agama, bersesuaian dengan perintah Allah SWT, maksudnya:
“Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah : Ayat 8)
Dunia hari ini menyaksikan 
kepincangan ekonomi yang maha dahsyat akibat pendekatan pilih kasih yang
 diamalkan kerajaan Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika Syarikat 
memastikan kepentingan golongan ultra-kaya dipelihara dengan menubuhkan 
Federal Reserve pada tahun 1913. 
Federal Reserve memastikan agar bank
 gergasi yang mengamalkan riba sentiasa dilindungi dengan menyediakan 
kecairan aset sekiranya krisis kewangan berlaku. Kuasa yang ada pada  
Federal Reserve untuk mencetak wang juga menyebabkan golongan ini begitu
 berkuasa, terutamanya apabila standard ekonomi berasaskan emas 
dihapuskan oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1971. 
Akibatnya, krisis kewangan yang 
teruk berlaku apabila hanya golongan kaya dibantu dan golongan marhaen 
dipinggirkan. Inflasi dan deflasi terus menerus menjadi wabak. Abad 
ke-21 menjadi saksi keruntuhan sistem yang berat sebelah ini. Tahun 
2007-2008 menyaksikan Great Recession berlaku di Amerika Syarikat hingga
 2 juta orang kehilangan pekerjaan. Krisis itu juga menjadi kesan domino
 apabila merebak ke Eropah malahan di China juga dilaporkan sebanyak 6.7
 juta orang telah kehilangan pekerjaan. Hingga kini, kesannya masih 
gagal dipulihkan.
5. Segala janji yang diucapkan 
perlulah ditunaikan. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang
 disenangi dan dipercayai oleh kawan dan lawan. Sifat berdusta 
menyebabkan masyarakat akan hilang kepercayaan kepadanya. Sabda Nabi SAW
 yang bermaksud:
"Sesiapa yang diamanahkan oleh 
Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam 
keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga 
untuknya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
Sikap jujur dan amanah amat penting 
dalam pentadbiran. Pemimpin yang menipu rakyatnya tidak layak untuk 
dihormati. Apatah lagi jika pemimpin itu mempergunakan segala kelebihan 
yang ada padanya untuk kekal berkuasa. Mengawal media massa agar 
sentiasa memaparkan kebaikannya dan menutup kelemahannya juga adalah 
satu bentuk penipuan. Hal itu juga boleh  dianggap sebagai suatu proses 
membodohkan rakyat secara terancang. 
Kejatuhan rejim yang rakus 
mengekalkan kuasa haruslah dijadikan iktibar. Nama-nama seperti Raja 
Louis XVI, Tsar Nikolay Alexandrovich Romanov, Raja Farouk I, Mohammad 
Reza Shah Pahlavi, Ferdinand Marcos, Jeneral Soeharto, Saddam Hussein, 
Zine El Abidine Ben Ali, Hosni Mubarak dan ramai lagi adalah contoh 
bahawa bangkai gajah tidak dapat disembunyikan dengan nyiru dan 
kemenangan mutlak akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.
6. Akhlak dan budi pekerti yang baik
 adalah permata insan. Pemimpin perlu menjadi teladan yang baik dalam 
semua tindak tanduknya. Seperti yang disebut dalam al-Quran, maksudnya: 
“Patutkah kamu menyuruh manusia 
supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa kan diri kamu sendiri. 
Padahal kamu semua membaca kitab Allah. Tidakkah kamu berakal?” (Surah 
al-Baqarah : ayat 44)
Secara logiknya, nasihat seorang 
pemimpin kepada rakyatnya untuk tidak boros dan  berjimat cermat adalah 
lebih mudah diterima jika pemimpin itu terlebih dahulu mengamalkannya. 
Slogan “Kepimpinan melalui teladan” ini perlu dijiwai oleh golongan 
pemerintah, bukan hanya sekadar meniti di tepian bibir. Uswah hasanah 
ini akan memberi kesan yang positif kepada masyarakat yang dipimpinnya. 
Selain daripada itu, tindakannya akan turut membuatkan rakyat kasih 
kepadanya.
Kesimpulannya, tuntutan membentuk 
kerajaan yang adil adalah tanggungjawab semua. Kerajaan yang adil akan 
membuka pintu kepada segala kebaikan dan ketaatan, menegakkan hak dan 
kebenaran, menghapuskan kebatilan dan kezaliman, memakmurkan semua 
lapisan masyarakat, menjanjikan sokongan rakyat yang berterusan, 
menyebabkan pemerintahan Islam dihormati disegenap pelosok alam dan yang
 paling penting, menyebabkan pemimpin dan yang dipimpin mendapat redha 
Allah SWT. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa mengingati pesanan 
Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA :
"Bahawasanya akan wujud (akan 
datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa 
yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, 
maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada 
(golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar
 di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan 
pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia 
daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan 
menemuiku di haudh.” (Riwayat Imam Ahmad)
No comments:
Post a Comment