PUTRAJAYA: Lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan
hari ini sebulat suara menolak rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan
Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memihak kepada anggota Parlimen Shah
Alam, Haji Khalid Samad.
Dalam keputusannya hari ini Mahkamah
Persekutuan memutuskan tidak memberikan kebenaran kepada pihak Utusan
untuk merayu sekaligus keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi
sebelum ini dikekalkan.
Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00.
Lima
orang Hakim yang bersidang di dalam rayuan hari ini adaalah Hakim Tan
Sri Richard Malanjun, Hakim Datuk Bentara Luar Datuk Haji Hashim Bin
Datuk Hj. Yusoff, Hakim Datuk Ahmad Bin Hj Maarof, Hakim Datuk Hasan bin
Lah dan Hakim Datuk Jeffery Tan Kok Wha.
Mahkamah Rayuan pada
24 Mei 2012 telah menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas
keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan
membayar gantirugi RM60,000-00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Pada
21 November 2011 Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Tuan Prasad
Sandhosham Abraham telah memutuskan bahawa artikel di muka hadapan
Utusan Malaysia bertarikh 10/9/2009 bertajuk ““ZULKIFLI BIDAS ‘PAK
JANGGUT’ ” adalah memfitnah ke atas YB Khalid Samad.
Antara lain artikel tersebut menulis:
“Ahli
Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang
digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al-Quran
untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seskyen 23, Shah Alam yang
menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.
Menurutnya,
‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak
bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.
“Yang paling pelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,"katanya.”
Untuk
rekod, pada tahun 2010 Khalid Samad telah memfailkan Writ Saman ke atas
Utusan melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates atas dakwaan
artikel Utusan tersebut telah memfitnah beliau.
Mahkamah Tinggi
memutuskan perkataan 'Pak Janggut' di artikel tersebut adalah merujuk
kepada Khalid Samad kerana sebelum artikel tersebut diterbitkan Khalid
Samad ada menulis surat kepada penduduk seksyen 23 Shah Alam supaya
mereka berlaku adil walaupun ke atas orang bukan Islam dalam isu
penempatan semula kuil hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.
Utusan telah memfailkan rayuan ke atas keputusan Hakim tersebut di mana rayuan tersebut telah didengar di Mahkamah Rayuaan.
Di
Mahkamah Rayuan, Mahkamah telah membenarkan permohonan Notis Usul yang
difailkan oleh peguam Khalid Samad bagi membatalkan rayuan Utusan atas
alasan Notis Rayuan tersebut cacat kerana pihak Utusan telah gagal
mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum memfailkan
rayuan mereka.
Sekaligus rayuan tersebut adalah bercanggah
dengan seksyen 68 (1) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang
memperuntukkan bahawa sebarang rayuan yang kurang dari RM 250,000-00
wajib mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu.
Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00 kepada Khalid Samad.
Dengan
penolakkan rayuan Utusan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini maka usaha
Utusan untuk merayu ke atas keputusan yang memihak kepada Khalid Samad
berakhir.
Pada pendengaran rayuan hari ini , Khalid Samad
diwakili oleh Cik Azhana binti Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa
& Associates manakala Utusan diwakili oleh Encik Mohana Kumar dari
Tetuan Shafiee Mohan.
Menurut peguam Hanipa Maidin, Khalid akan
memfailkan Notis Taksiran Kos di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat
bagi menuntut segala kos perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang perlu
dibayar oleh Utusan ke atas Khalid.
No comments:
Post a Comment