5 Golongan Manusia Yang Beruntung
Memiliki gelaran sebagai seorang Muslim bukan sekadar catatan pengenalan semata-mata.
Tetapi kesempurnaan beragama akan tergambar dengan peribadi Muslim yang
benar-benar mengikut apa yang diajarkan. Sebagai umat yang terbaik,
seorang Muslim semestinya memiliki peribadi yang berteraskan garis
panduan al-Quran dan sunnah. Namun, ia bukanlah hanya bergantung pada ibadah khusus semata-mata, kerana sebagai makhluk bernyawa yang pasti akan menemui mati,
sudah tentu akan ditanya ke mana dihabiskan usia kita selama hidup di
dunia ini? Maka apakah yang dikatakan tentang golongan manusia yang
beruntung.
1. Akidah yang sejahtera
Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT semestinya manusia memerlukan suatu
dasar dan peraturan hidup yang akan membentuk disiplin, kemantapan iman
serta ketaqwaan seseorang bagi memandunya menuju keredhaan Allah SWT.
Berpaksikan fakta ini, tentunya
akidah Islamiyah sahaja yang memiliki kemampuan demikian dan membuatkan
manusia mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah SWT. Islam
sebagai ad-Din atau cara hidup memiliki peraturan dan pegangan yang
mampu membangunkan sistem kehidupan manusia kepada suatu ketamadunan
yang tinggi.
2. Bermanfaat untuk orang lain
2. Bermanfaat untuk orang lain
“Dan
janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada
kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum
kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah;
dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan
orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan
(ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nur:22)
Nukilan melalui maksud firman Allah ini amat bertepatan dengan fenomena sosial semasa yang menuntut setiap individu Muslim untuk berfikir lebih jauh terutamanya yang melibatkan generasi muda. Setiap Muslim perlu sentiasa meletakkan diri untuk memberi perkhidmatan yang dapat dimanfaatkan oleh agama, bangsa dan negara. Pemikiran sebegini amat penting supaya terbina individu yang berkualiti, keluarga yang bahagia seterusnya terbentuk masyarakat yang sedar dan peka dalam segenap aspek kehidupan.
Nukilan melalui maksud firman Allah ini amat bertepatan dengan fenomena sosial semasa yang menuntut setiap individu Muslim untuk berfikir lebih jauh terutamanya yang melibatkan generasi muda. Setiap Muslim perlu sentiasa meletakkan diri untuk memberi perkhidmatan yang dapat dimanfaatkan oleh agama, bangsa dan negara. Pemikiran sebegini amat penting supaya terbina individu yang berkualiti, keluarga yang bahagia seterusnya terbentuk masyarakat yang sedar dan peka dalam segenap aspek kehidupan.
Memberi manfaat bererti kebaikan menjalar kepada orang lain melalui
pelbagai cara yang berlandaskan syariat. Sekiranya setiap Muslim
menggunakan segala kemampuan yang dipinjamkan oleh Allah untuknya, sudah
pasti mereka akan menjadi umpama pokok yang rimbun dan berbuah lebat.
3. Ibadah yang benar
Tuntaskan ibadah yang merupakan kewajipan kita sebagai hamba-Nya di muka
bumi ini kerana ia adalah ‘tiket’ untuk kita ke syurga. Ibadah yang
benar-benar terbaik adalah ibadah yang dilakukan semata-mata bagi
mendapat keredhaan Allah SWT dengan berbekalkan pemahaman serta
penghayatan yang tinggi.
Allah telah menukilkan dalam surah al-Dzariyat ayat 56 melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”Ayat
ini jelas mengingatkan kita, ibadah itu merupakan tanggungjawab manusia
kepada Allah SWT sebagai Pencipta manusia dan sekalian alam. Ia perlu
dihayati dan difahami secara benar dan tidak menyimpang kepada
unsur-unsur yang menyesatkan.
Melalui ibadah, akan melahirkan hati-hati yang patuh dan tunduk serta
kecintaan yang tinggi kepada Allah SWT. Ini kerana skop ibadah amat
luas. Semua perkara yang diizinkan oleh Allah itu adalah ibadah. Ia
merangkumi segenap aspek kehidupan yang mana akhirnya akan mewujudkan
insan yang menjalani kehidupan untuk memperoleh keredhaan Allah SWT
semata-mata.
4. Bijak menjaga masa
Kita dikurniakan matahari dan bulan yang sama. Mengharungi jumlah
pusingan jam dan hari yang sama. Tetapi mengapa ada orang yang dapat
melakukan suatu pekerjaan yang hebat dan ada pula yang sentiasa mengeluh
tidak punya cukup waktu untuk menyelesaikan urusannya. Hakikatnya,
tiada manusia yang punya cukup masa melainkan mereka yang bijak mengurus
masa. Masa bukanlah emas atau pedang, tetapi masa adalah kehidupan.
Allah telah mengingatkan kita dalam nukilan firman-Nya yang bermaksud, “Demi
Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang
beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr:1-3)
Firman Allah ini jelas membuktikan kebijaksanaan dalam mengurus masa
mampu memberi kesan yang terbaik dalam kehidupan manusia. Tidak ada
gantinya bagi masa yang telah berlalu kerana masa yang akan datang
adalah masa yang berlainan. Sesungguhnya kita telah menzalimi diri
sendiri apabila membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa
dimanfaatkan. Dalam sehari, mari kita hitung bagaimana 24 jam itu
dibahagikan?
- Bilakah masa beribadah kepada Allah?
- Bilakah masa bersama keluarga?
- Bilakah masa bekerja?
- Bilakah masa bersama masyarakat?
- Bilakah masa belajar?
- Bilakah masa makan?
- Bilakah masa berehat?
Akhirnya, apakah jawapan yang kita peroleh? Alangkah ruginya jika
sepanjang 24 jam itu hanya dihabiskan untuk berehat dan bersenang-lenang
semata-mata. Adakah berbaloi rehat yang kita ambil tanpa melakukan sebarang kemanfaatan? Oksigen
yang Allah berikan secara percuma tanpa perlu bayar walau satu sen pun
ini, bukanlah untuk disedut begitu sahaja. Allah pinjamkan bekalan
oksigen supaya kita dapat hidup dengan sejahtera dan melangsaikan segala
amanah yang telah kita janjikan dengan sebaiknya.
Hakikatnya, musuh yang paling utama dalam pengurusan masa adalah tabiat
suka bertangguh. Sebagaimana kata Ibnu Umar, “Jika engkau berada di
waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada
pada waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat
engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.”
5. Akhlak yang mantap
Akhlak atau tingkah laku, perangai, tabiat, dan adat kebiasaan merupakan
sifat, perbuatan atau tindakan yang dizahirkan dengan mudah tanpa perlu
dipaksa. Ia bertapak utuh di dalam diri dan menjadi cerminan manusia
dalam menilai baik buruk suatu perbuatan atau amalan.
Sedarkah kita, akhlak akan mempengaruhi penentuan kedudukan timbangan
amalan seseorang di akhirat kelak? Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,
“Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang hamba
pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah
murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.”
(Riwayat At-Tirmidzi)
Akhlak melambangkan imej seorang Muslim yang sebenar dan seterusnya dapat memperkasakan keindahan Islam. Menurut
Imam al-Ghazali, akhlak yang mulia itu merangkumi empat perkara iaitu,
bijaksana, memelihara diri dari sesuatu yang tidak baik,
keberanian(menundukkan kekuatan hawa nafsu) dan bersifat adil. Ia jelas
merangkumi segala sifat baik dalam kehidupan kita umpamanya hidup
bersilaturrahim, mempertahankan agama dengan berani, berbakti kepada
keluarga dan negara, senantiasa bersyukur, sabar, redha dengan ujian,
jujur, bercakap benar, dan sebagainya.
Secara tuntasnya, marilah kita sama-sama bermuhasabah, harta yang paling
menguntungkan adalah SABAR. Maka, berapa banyakkah sabar yang kita
miliki? Teman yang paling akrab adalah AMAL. Maka, akrabkah kita dengan
amal? Pengawal peribadi yang paling waspada adalah DIAM. Maka, sejauh
manakah peribadi kita dikawal? Bahasa yang paling manis adalah SENYUM.
Maka, maniskah bahasa kita? Ibadah yang paling indah tentunya KHUSYUK.
Maka, setinggi mana keindahan ibadah kita? Adakah kita selama ini menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang benar-benar beruntung?
UmatIslamMalaysia - Satu
artikel yang kami untuk rasa sesuai untuk dijadikan ruangan muhasabah
diri. Bukan mudah untuk menjadi manusia yang beruntung, tetapi kita
patut kejar ke arah itu. Apabila kita menjadi manusia yang beruntung,
maka hidup kita di atas dunia ini tidaklah sia-sia sahaja.
UmatIslamMalaysia
No comments:
Post a Comment