Baca dan teliti apa kata Anwar kaitan dengan perpaduan dalam PR khusus isu Hudud dan di manakah pula kejahilan Najib dalam menangani isu ini - yang mana satu untuk Najib: 
JAHILIAH SIKAP DAN NILAI, JAHILIAH HUKUM DAN PERATURAN, JAHILIAH PEMIKIRAN DAN PERGAULAN ATAU JAHILIAH KESOMBONGAN.
Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan
 berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. 
Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya 
dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan 
yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat 
berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang 
untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada 
pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah 
berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula 
menghalang. Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak
 menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu 
Dato’ Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana 
zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan 
terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya. Permuafakatan Pakatan
 Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu 
mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang 
tidak sehaluan.
Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya 
berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun 
pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan 
Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan 
untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan 
Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin 
keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa 
aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka 
tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.
Sebagai seorang Muslim, pastinya saya menjunjung tinggi perintah 
Allah SWT serta pesan-pesan Nya yang terkandung di dalam Al Quran. 
Apabila ditanya, apakah pandangan saya mengenai hudud di Malaysia dan 
isu berkaitan undang-undang syariah serta perlaksanaannya oleh mahkamah 
syariah di negara ini, jawab saya, dalam konteks masyarakat Malaysia, 
kita semua tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh 
kerana itu perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira 
keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan
 untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, perlaksanaan 
undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak 
dicerobohi serta dizalimi. Saya menasihati rakan-rakan untuk meneliti 
kenyataan saya ini berasaskan muafakat yang tertera dalam Buku Jingga:
"Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153."
Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi Umno-BN memperalatkan 
isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan Umno-BN tidak pernah 
berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan perdana
 menteri, Dr Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan 
undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari
 sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan
 kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. 
Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan Umno yang mempersenda 
hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. Waima mutakhir ini 
beberapa pimpinan Umno memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan
 Islam, manakala seringkali pula mereka menuduh pimpinan Pakatan Rakyat 
sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering 
dilaung-laungkan oleh pimpinan Umno-BN sekadar retorika membakar 
sentimen serta sering tersasar dari kehendak syariah yang mahukan 
kemaslahatan untuk rakyat.
ANWAR IBRAHIM
Terengganu
24hb September 2011  


No comments:
Post a Comment