Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Thursday, November 11, 2010

MUSTAFFA KAMIL TETAP BERSAMA DSAI

Kenyataan Media 11 November 2010 : Sokongan Tidak Berbelah Bagi Kepada Kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim

Saya merujuk kepada laporan bertajuk “Anwar, Azmin tak tunduk desakan keluar parti” pada muka 4 Berita Harian bertarikh 10hb November 2010 yang ditulis oleh wartawan Anwar Hussin dan Haspaizi Mohd Zain. Di dalam ruangan berita tersebut, Berita Harian telah menyiarkan gambar saya bersama Dato’ Zaid Ibrahim dengan caption yang tertulis “Mustaffa Kamil (kiri) dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Mohamed Azmin supaya berundur pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam”.

Saya membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah di dalam caption gambar tersebut kerana memorandum yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut bukan sama sekali untuk mendesak Dato’ Seri Anwar dan Sdr Azmin berundur. Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, memorandum yang saya hantar pada 9hb November 2010 tersebut adalah untuk meminta pembatalan dan penjalanan semula Pemilihan Kepimpinan KEADILAN 2010 dan kandungannya diketahui oleh Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah. Sidang media memaklumkan penyerahan memorandum mengenai JPP dihadiri oleh Dato’ Zaid Ibrahim dan setelah selesai, saya meninggalkan sidang, yang kemudian diteruskan oleh Dato’ Zaid Ibrahim tanpa kehadiran saya.

Saya ingin menegaskan bahawa sokongan penuh saya kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden KEADILAN tidak pernah berubah. Pendirian tersebut memang sedia diakui oleh kebanyakan ahli-ahli parti berdasarkan rekod saya yang sentiasa konsisten mempertahankan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang 12 tahun saya terlibat dalam perjuangan reformasi. Saya percaya bahawa KEADILAN, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya amat memerlukan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembaharuan yang mampu membawa perubahan besar kepada negara.

Memorandum yang saya hantar 2 hari yang lalu adalah berdasarkan rintihan suara akar umbi yang terbabit dengan proses pemilihan parti 2010 dan memfokuskan kepada masalah dan kepincangan di sekitar perjalanan Pemilihan Kepimpinan 2010 yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah telah menyambut baik dan akan mempertimbangkan kandungan memorandum tersebut berdasarkan jaminan yang saya terima dalam pertemuan saya dengan kedua-dua pemimpin tersebut pada hari yang sama.

Saya memberi amaran agar jangan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyelewengkan fakta dan menabur fitnah dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti Dato’ Seri Anwar, saya sendiri dan pemimpin-pemimpin parti yang lain.

Saya dengan ini menuntut supaya Berita Harian memohon maaf secara terbuka dan membuat pembetulan atas laporan tersebut dalam tempoh 24 jam. Sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, saya terpaksa mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran.


“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”
“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”




MUSTAFFA KAMIL AYUB
Naib Presiden KEADILAN
Calon Timbalan Presiden KEADILAN

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA