Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Thursday, January 10, 2019

AGONG - TIADA SISTEM GILIRAN

Lantik Agong tak semestinya ikut sistem giliran - Dr Azmi


Majlis Raja-raja mempunyai kuasa penuh untuk melantik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan tidak terikat dengan sistem penggiliran yang diamalkan selama ini.
Manurut pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Azmi Sharom - gambar - , perkara 38 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas kuasa raja-raja untuk melantik YDPA mengikut budi bicara mereka, sedangkan jadual ketiga dalam Perlembagaan hanya bersifat prosedur.
“Ini (penggiliran) adalah macam satu konvensyen atau tradisi. Mungkin mereka akan teruskan dengannya, tetapi mereka tak terikat kepadanya.
“Kuasa dinyatakan pada artikel 38 (6), dan jadual ketiga hanyalah menyediakan prosedur bagaimana untuk melakukannya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Artikel 38 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: Anggota Majlis Raja-raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut, iaitu: (a) memilih YDPA atau memecat YDPA daripada jawatannya, atau memilih Timbalan YDPA.
Dalam Jadual ketiga, bahagian 1, seksyen 2 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan: Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan YDPA kepada raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan yang diperihalkan dalam seksyen 4 dan, jika raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada raja yang negerinya ialah yang berikut selepas negeri yang pertama dalam senarai itu, dan demikianlah seterusnya sehingga seorang raja menerima jawatan itu.
Susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai YDPA ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu, beberapa spekulasi timbul berhubung pelantikan YDPA baru yang akan dilakukan pada 24 Januari nanti.
Antaranya ialah spekulasi tentang kemungkinan berlakunya langkauan giliran Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang kini dalam keadaan tidak sihat, menyebabkan sultan yang berada di giliran seterusnya iaitu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dikatakan berkemungkinan besar dipilih.
Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pada ciapannya di Twitter semalam berkata ‘raja-raja terikat dengan turutan senarai giliran’.
Sejarawan Prof Dr Ramlah Adam dipetik Sinar Harian semalam pula berpendapat Sultan Ahmad Shah masih boleh dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan tugas baginda dijalankan oleh pemangkunya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika ini adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
“Sekiranya Sultan Pahang diberi peraturan biasa iaitu gilirannya menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda gering tapi boleh dilantik sekiranya dibenarkan Majlis Raja-raja dan baginda berminat.
“Walau baginda gering pun, pemangkunya boleh melaksanakan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi saya rasa masih boleh ikut sistem giliran cuma soalnya sekarang, apakah itu dibenarkan Majlis Raja-raja?” katanya.
Sementara itu, pensyarah sains politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak (gambar) menyifatkan sistem giliran itu bukanlah satu peraturan yang rigid dan ketat yang tidak boleh diubah.
“Penggiliran itu juga satu proses demokrasi sebenarnya, untuk memberi peluang adil dan saksama kepada semua raja menjadi agung. Sebab itu seboleh mungkin biasanya penggiliran itu diikuti.
“Tapi dalam keadaan-keadaan tertentu penggiliran itu boleh dibuat ubah suai jika keadaan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmi Sharom menolak kebimbangan mengenai cakap-cakap yang menjangkakan wujud ‘kesan buruk’ terhadap pentadbiran PH sekiranya Sultan Johor dilantik menjadi YDPA.
Menurut Azmi, biarpun YDPA mempunyai kuasa penuh terhadap beberapa perkara, kebanyakan kuasa yang ada pada YDPA bukanlah bersifat mutlak, sebaliknya tertakluk di bawah nasihat.
“Kuasa YDPA ini sangat simbolik. Jadi, dia mungkin boleh menangguhkan perundangan, tetapi dia tiada kuasa untuk memveto perundangan.
“Kesannya adalah terlalu minimal,” katanya lagi.
Bagi Mustafa pula, beliau percaya tidak ada masalah akan timbul tentang hubungan antara ketua kerajaan dengan ketua negara.
“Kita bukannya berpegang pada sistem raja mutlak, tetapi raja berperlembagaan.
“Kita pun bukannya baru pertama kali melalui proses raja berperlembagaan ini, sudah lebih 60 tahun, sudah masuk kitaran kedua (giliran) raja-raja. Isu seperti ini bukannya tak pernah timbul sebelum ini.
“Ini lebih cakap-cakap politik, spekulasi. Tapi bagi saya hubungan raja dan perdana menteri sepatutnya tak ada isu kerana ada garis panduan yang jelas dalam perlembagaan dan juga tradisi yang telah kita amalkan sejak (lebih) 60 tahun lalu,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA