Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Sunday, January 13, 2019

UMNO - NAJIB MASIH HERO.......

Malaysia General Election 2018 : News Photo

Sama ada suka atau tidak, kita harus mengakui Najib Razak ketika ini bukan saja paling aktif bersuara di media sosial, tetapi juga rajin turun padang dalam isu-isu tertentu yang melibatkan kepentingan rakyat.

Dalam media sosial, hampir semua isu disentuh serta dikritiknya dan beliau selalunya akan membandingkan apa yang berlaku sekarang dengan ketika era pentadbiran BN dahulu.

Kerapkali kali juga beliau bersikap sinis dan menyindir, terutama berhubung pendekatan kerajaan yang disifatkannya sekadar “copy paste” daripada pendekatan yang pernah dilakukannya ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini atau lebih mendatangkan kesusahan kepada rakyat.

Baru-baru ini, susulan penurunan harga minyak, bekas Perdana Menteri itu telah turun ke Pasar Keramat untuk meninjau keadaan harga barang-barang dan kemudian beliau juga pergi ke sekitar kawasan Masjid Jamek untuk melihat pembangunan projek "River of Life" yang merupakan tarikan baru untuk pelancong di Kuala Lumpur.

Kedua-dua tindakannya turun padang itu akhirnya menyebabkan pihak kerajaan sendiri memberi respon positif dengan Saifudin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengucapkan terima kasih kepada Najib, sementera Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mahu Ahli Parlimen Pekan itu melihat lebih dekat keseluruhan pembanginan "River of Life" itu.

Di dalam UMNO sekarang ini nampaknya hanya Najib satu-satunya pemimpin parti itu yang rajin bersuara, baik menegur dan mengkritik kerajaan atau turun padang ketika timbul isu-isu tertentu.

Yang lain-lain, termasuk Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO tanpa kuasa dan Ketua Pembangkang, Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas selaku Presiden UMNO dan Ahli-Ahli Parlimennya, sama ada yang pernah menjadi menteri atau tidak sebelum ini, semuanya seolah-olah tidak berfungsi atas kedudukan mereka sebagai wakil rakyat pembangkang sekarang ini.

Kalau ada pun seorang dua Ahli Parlimen yang kerap menulis di media sosial, tumpuan mereka selalunya lebih mengkhusus kepada persoalan politik dan tidak berkaitan dengan susah senang kehidupan rakyat.

Selari dengan keinginan rakyat untuk melihat pembangkang yang kuat dan benar-benar berperanan membela rakyat, sikap dan pendirian Najib ini memang boleh dipuji dan diberikan penghargaan, meskipun kekalahan UMNO dan BN dalam PRU14 lalu banyak berpunca daripada dirinya.

Beliau nampaknya tidak lemah semangat di sebalik kekalahan dan hilangnya kuasa sebagai Perdana Menteri, malah mahu terus berjuang memastikan “ada sinar cerah di hujung terowong” bagi BN dalam pilihanraya akan datang.

Dengan yang demikian, selari dengan falsafah “seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dijatuhkan bersalah oleh mahkamah” dan bertembung dengan keadaan Zahid Hamidi yang langsung tidak berfungsi sebagai Ketua Pembangkang, adalah wajar UMNO segera melantik Najib sebagai Ketua Pembangkang yang baru.

Kedudukannya beliau yang berdepan dengan banyak kes di mahkamah tidak akan mencacatkan jika dilantik sebagai Ketua Pembangkang kerana ia juga sebahagian proses bagi bekas Perdana Menteri itu membersihkan dirinya.

Yang penting, dengan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang itu, Najib boleh terus memainkan peranan dengan berkesan dalam menegur dan mengkritik kerajaan berdasarkan keupayaan serta pengalamannya sebagai bekas Perdana Menteri.

Dengan menjadi Ketua Pembangkang juga, beliau bukan saja dirasakan mampu bersuara dengan lebih baik di media sosial dan kerap turun padang apabila isu-isu tertentu yang melibatkan masyarakat, malah turut diyakini berupaya menghidupkan perdebatan yang menguntungkan rakyat di Parlimen.

Berbeza dengan Zahid Hamidi, sudahlah lemah dan tidak berfungsi di lapangan rakyat, dalam perbahasan Belanjawan 2019 baru-baru ini juga beliau gagal menampilkan kemampuannya membahaskan perkara itu atas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada Khairy Jamaluddin untuk membahaskan Belanjawan 2019, sedangkan semua Ketua Pembangkang sebelum ini tidak pernah melepaskan peluang untuk berucap setiap kali belanjawan dibentangkan.

Mengekalkan terus Zahid Hamidi sebagai Ketua Pembangkang tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada UMNO, BN serta rakyat yang mengharapkan kerajaan sentiasa dipantau melalui proses "check and balance" oleh pihak pembangkang.

Oleh kerana tidak ternampak pemimpin lain dalam UMNO sekarang ini yang seaktif dan segigih Najib untuk terus berjuang di era kekalahan ini, sebaliknya ramai yang "patah semangat" dan cuba mencari "pintu belakang" untuk kembali menjadi kerajaan, beliau rasanya paling sesuai serta diyakini boleh terus memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan sehingga PRU15 akan datang. (ShahbudinHusin 08/01/2019).

Saturday, January 12, 2019

KINI INSTITUSI RAJA JADI MANGSA


Terlihatnya kebelakangan ini semakin ramai rakyat negara kita, tidak kira Melayu, Cina atau India, seolah-olah semakin ghairah dan seronok menghina Raja-Raja Melayu.

Komen-komen yang terpapar di media sosial akhir-akhir ini dan bagaimana ayat serta bahasa yang digunakan untuk menghina Raja-Raja itu, amatlah menyedihkan sekali.

Kenapakah mereka sanggup berbuat demikian?

Di manakah didikan dan ajaran yang mereka perolehi sejak kecil sehingga sanggup menggunakan ayat dan bahasa sedemikian rupa?

Tidakkah mereka sedar bahawa Raja, Sultan dan Yang Dipertuan Agong adalah institusi yang sah dan diiktiraf dalam perlembagaan negeri dan negara yang perlu disanjung dan dihormati?

Lebih memilukan apabila ada terdapat anak dan cucu pembesar UMNO sendiri turut terjebak ke kancah itu sehingga ibu bapanya  terpaksa memohon maaf secara terbuka.

Harus kita sedar bahawa negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan ia bukan saja termaktub dalam Perlembagaan, malah telah diterima sebagai sebahagian daripada ciri Malaysia.

Bukan tidak boleh berbeza pendapat atau tidak setuju dengan Raja atau Sultan, tetapi ia hendaklah dilakukan mengikut cara dan tatasusilanya.

Menggunakan bahasa kesat, berbentuk makian, carutan dan sebagainya terhadap Raja-Raja adalah tidak sesuai sama sekali, malah hanya mencerminkan hodohnya keperibadian mereka yang melakukannya itu.

Dalam hal ini, kerajaan melalui polis, SKMM yang mengawal sedia media sosial dan lain-lain agensi penguatkuasa seharusnya tampil dengan pendekatan yang lebih aktif serta menyeluruh agar gejala tidak sihat ini tidak berterusan berleluasa.

Kerajaan perlu lebih tegas dalam bertindak dan membendung agar gejala ini tidak terus berkembang yang akhirnya akan merosakkan kehidupan bernegara.

Selain tangkapan dan hukuman terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu, peringatan atau penerangan mengenainya juga hendaklah sentiasa diperluaskan.

Dalam kehidupan yang pelbagai dan rencam di negara ini, semua orang ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu dihormati.

Raja, Sultan dan Agong ada peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri yang perlu kita junjung dan hormati. 

Sebagai ketua negara dan negeri, Agong, Raja atau Sultan hendaklah kita hormati, bukan mencaci atau memaki dengan kata-kata kesat dan carutan yang tidak sepatutnya.

Lagi pun, apa yang kita dapat dengan memaki, menghina dan mencarut terhadap Raja-Raja melalui media sosial itu? (ShahbudinHusin 08/01/2019).

Friday, January 11, 2019

DUNIA DI AKHIR ZAMAN - PENOH DGN MALAPETAKA....

Photo of Mohd Shahrul Mohd Nadzir


Umat Islam di negara ini bakal berhadapan cabaran sukar mengharungi kesan perubahan iklim jika gagal mengubah pola fikirannya (mindset) yang sering mengaitkan bencana alam dengan azab pembalasan akibat maksiat, jelas pensyarah kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir - gambar


"Kita bercakap perubahan iklim sekarang ini kita bercakap kepada mindset.


"Jadi bila cerita balik bumi ini dah tua. Dalam Al-Quran pun ada cakap kerosakan bumi ini akibat tangan manusia sendiri.

"Sebenarnya kita tak boleh cakap yang (bencana alam) itu ialah takdir, azab, sebab maksiat.

“Ok yang itu ialah satu daripada bencana yang Allah bukakan tapi kalau kita sering menggunakan alasan yang macam itu, kita takkan berubah," katanya yang juga Ketua Pusat Sistem Tropika dan Perubahan Iklim di UKM.

Dr Mohd Shahrul yang merupakan pakar bidang kimia alam sekitar bercakap mengenai ajaran asas Islam mengenai kebersihan dalam wawancara di pejabat Malaysiakini, baru-baru ini.

Kebersihan ajaran nabi 

"Kadang-kadang saya pun sedih. Bukan saya nak cakap orang menunggang agama. Dalam Islam sendiri pun, apa yang Nabi Muhamad SAW ajar kepada kita ialah kembali kepada ajaran asas iaitu kebersihan.

“Contoh sekarang, saya tengok kadang-kadang saya sedih, orang berhenti buang sampah kat tepi jalan sebab dia tak fikir perubahan iklim, siapa nak fikir pasal itu kan?

"Tapi sebenarnya kita malu, sedangkan orang yang bukan Islam itu lah yang ulama cakap 'aku nampak Islam di negara bukan Islam dan aku nampak orang bukan Islam di negara Islam' maknanya kita bercakap tentang sikap," jelasnya yang pernah menuntut di Jerman dalam pengajian kejuruteraan proses di Brandenburg Technical University of Cottbus.

Bercerita pengalamannya sewaktu belajar di Jerman, Mohd Shahrul berkata yuran pengajian sarjananya (Master) di negara Eropah itu adalah percuma tetapi untuk menyara kehidupannya beliau perlu berdikari bekerja sebagai tukang cuci.

"Saya bukan pelajar (ijazah pertama) cemerlang. Saya ingat lagi saya naik motor ke Jabatan Perkhidmtan Awam (JPA). (Maklum balas mereka) kamu ni pointer CGPA 2.71 UKM macam mana nak dapat biasiswa JPA (ke Jerman)?

"Akhirnya saya cakap kat mak saya, saya nak pergi juga. Saya jual motor saya untuk sampai. 

"Di sana saya kerja sebagai tukang cuci untuk menampung kehidupan sebab di Jerman yuran pengajiannya percuma. Jadi semuanya tentang mindset," katanya.

Sepanjang belajar di Eropah berliau berkata masyarakat di sana cukup mengambil berat aspek kebersihan, alam sekitar dan perubahan iklim 

Isma, Ikram, PAS bersatu jaga alam

Kembali ke tanah air, Mohd Shahrul menyambung pelajarannya di peringkat doktor falsafah (PHD) di Universiti Malaya, sebelum mengajar di UKM.

"Sebab itu bagi generasi muda, kepada pelajar-pelajar saya, saya akan mulakan asas alam sekitar, kita jaga kebersihan.

“Ini buang sampah merata-rata. Bila buang sampah dekat sungai, parit bila banjir berlaku (akan kena kepada kita juga). Semua ini berkait rapat dengan perubahan iklim," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Shahrul berkata umat Islam yang berpayung di bawah pertubuhan-pertubuhan, NGO Isma, Ikram atau parti politik PAS perlu bersatu dalam urusan penjagaan alam sekitar.

“Islam ini luas, termasuk hal alam sekitar, perubahan iklim. Ramai saintis awal orang Islam, Al Khawarizmi, Ibnu Sina, Algebra.

“Kita bukan sekadar nak guna Quran, cakap bala-bala padahal kita kena ubah mindset generasi muda. Maknanya kita nak tunjuk akhlak islam. Saya tak suka kita takut dengan bayang-bayang kita sendiri.

"NGO ker, Ikram ker, Isma ker, siapa-siapa, PAS ker, kita patut bersatu dalam hal ini. Kita ni dah nak menghala ke 2020 negara maju tapi pemikiran kita tak maju.

"Asasnya jagailah alam sekitar. Kurangkan pencemaran. Macam tak bagus pakai straw, hal itu pun orang dah melatah,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai pembalakan dan penebangan hutan, Shahrul berkata kegiatan itu perlu dikawal.

“Itu perubahan guna tanah, kita tebang-tebang hutan itu kita buat kebun ke kita buat apa-apa. Sebenarnya yang itu kita patut kawal lah. 

"Contoh kawasan tinggi kita tebang dan katakanlah kita bina resort padahal permukaan tanah itu dari segi geologi tak sesuai tapi kita buat juga. Maka berlaku air larian di tanah tinggi yang akan menghasilkan tanah runtuh.

“Kita tebang-tebang hutan semua itu, jadi dari segi suhu akan meningkat sebab tiada pokok. Jadi menyebabkan banyak gas-gas rumah hijau (termasuk gas dan zarahan pencemar) terbebas di udara dan suhu akan naik.

“Tanpa hutan akan memberi kesan pada kawasan tanah rendah jadi boleh berlakunya banjir, apa lagi kalau sistem perparitan kita banyak sampah akan lagi teruklah,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, begitu juga dengan hutan paya bakau yang berfungsi sebagai pelindung semulajadi daripada kesan ombak di lautan.

“Sebenarnya perubahan iklim ni boleh menjejaskan ekonomi. Bila kita tengok nelayan, paya bakau kita, ecotourism kita.

“Semua akan menerima kesan akibat kenaikan paras air laut. Maknanya penempatan musnah, semua musnah.

“Malah banjir di Kelantan sekitar tiga empat tahun dulu semuanya disebabkan perubahan iklim,” katanya.

Menurut World Meteorological Organization (WMO) tahun 2018 merupakan tahun yang paling panas sejak 1860.

Dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada 29 November 2018, WMO berkata rekod 20 tahun paling panas berlaku sepanjang 22 tahun lalu ini. 

Empat tahun yang paling panas pula bermula sejak 2016 hingga tahun lalu. Antara empat tahun itu, 2018 menjadi pemegang rekod tahun yang paling panas.

“Setiap kenaikan pemanasan walau satu darjah celsius akan mendatangkan kesan terhadap kesihatan manusia serta sumber makanan dan air tawar, kepupusan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, kelangsungan terumbu karang dan kehidupan laut,” kata Timbalan Setiausaha Agung WMO Elena 

Thursday, January 10, 2019

AGONG - TIADA SISTEM GILIRAN

Lantik Agong tak semestinya ikut sistem giliran - Dr Azmi


Majlis Raja-raja mempunyai kuasa penuh untuk melantik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan tidak terikat dengan sistem penggiliran yang diamalkan selama ini.
Manurut pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Azmi Sharom - gambar - , perkara 38 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas kuasa raja-raja untuk melantik YDPA mengikut budi bicara mereka, sedangkan jadual ketiga dalam Perlembagaan hanya bersifat prosedur.
“Ini (penggiliran) adalah macam satu konvensyen atau tradisi. Mungkin mereka akan teruskan dengannya, tetapi mereka tak terikat kepadanya.
“Kuasa dinyatakan pada artikel 38 (6), dan jadual ketiga hanyalah menyediakan prosedur bagaimana untuk melakukannya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Artikel 38 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: Anggota Majlis Raja-raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut, iaitu: (a) memilih YDPA atau memecat YDPA daripada jawatannya, atau memilih Timbalan YDPA.
Dalam Jadual ketiga, bahagian 1, seksyen 2 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan: Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan YDPA kepada raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan yang diperihalkan dalam seksyen 4 dan, jika raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada raja yang negerinya ialah yang berikut selepas negeri yang pertama dalam senarai itu, dan demikianlah seterusnya sehingga seorang raja menerima jawatan itu.
Susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai YDPA ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu, beberapa spekulasi timbul berhubung pelantikan YDPA baru yang akan dilakukan pada 24 Januari nanti.
Antaranya ialah spekulasi tentang kemungkinan berlakunya langkauan giliran Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang kini dalam keadaan tidak sihat, menyebabkan sultan yang berada di giliran seterusnya iaitu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dikatakan berkemungkinan besar dipilih.
Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pada ciapannya di Twitter semalam berkata ‘raja-raja terikat dengan turutan senarai giliran’.
Sejarawan Prof Dr Ramlah Adam dipetik Sinar Harian semalam pula berpendapat Sultan Ahmad Shah masih boleh dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan tugas baginda dijalankan oleh pemangkunya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika ini adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
“Sekiranya Sultan Pahang diberi peraturan biasa iaitu gilirannya menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda gering tapi boleh dilantik sekiranya dibenarkan Majlis Raja-raja dan baginda berminat.
“Walau baginda gering pun, pemangkunya boleh melaksanakan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi saya rasa masih boleh ikut sistem giliran cuma soalnya sekarang, apakah itu dibenarkan Majlis Raja-raja?” katanya.
Sementara itu, pensyarah sains politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak (gambar) menyifatkan sistem giliran itu bukanlah satu peraturan yang rigid dan ketat yang tidak boleh diubah.
“Penggiliran itu juga satu proses demokrasi sebenarnya, untuk memberi peluang adil dan saksama kepada semua raja menjadi agung. Sebab itu seboleh mungkin biasanya penggiliran itu diikuti.
“Tapi dalam keadaan-keadaan tertentu penggiliran itu boleh dibuat ubah suai jika keadaan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmi Sharom menolak kebimbangan mengenai cakap-cakap yang menjangkakan wujud ‘kesan buruk’ terhadap pentadbiran PH sekiranya Sultan Johor dilantik menjadi YDPA.
Menurut Azmi, biarpun YDPA mempunyai kuasa penuh terhadap beberapa perkara, kebanyakan kuasa yang ada pada YDPA bukanlah bersifat mutlak, sebaliknya tertakluk di bawah nasihat.
“Kuasa YDPA ini sangat simbolik. Jadi, dia mungkin boleh menangguhkan perundangan, tetapi dia tiada kuasa untuk memveto perundangan.
“Kesannya adalah terlalu minimal,” katanya lagi.
Bagi Mustafa pula, beliau percaya tidak ada masalah akan timbul tentang hubungan antara ketua kerajaan dengan ketua negara.
“Kita bukannya berpegang pada sistem raja mutlak, tetapi raja berperlembagaan.
“Kita pun bukannya baru pertama kali melalui proses raja berperlembagaan ini, sudah lebih 60 tahun, sudah masuk kitaran kedua (giliran) raja-raja. Isu seperti ini bukannya tak pernah timbul sebelum ini.
“Ini lebih cakap-cakap politik, spekulasi. Tapi bagi saya hubungan raja dan perdana menteri sepatutnya tak ada isu kerana ada garis panduan yang jelas dalam perlembagaan dan juga tradisi yang telah kita amalkan sejak (lebih) 60 tahun lalu,” katanya lagi.

Wednesday, January 9, 2019

BENARKAN DSAI THE NEXT PM?

Janji wajib ditepati dan di dalam Islam, mereka yang mungkir janji tergolong sebagai munafik.

Dalam pepatah Melayu pula selalu disebut - lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Bermakna, dalam apa keadaan sekali pun, janji mesti ditepati dan bukan untuk dikhianati.

Dalam carta politik negara sekarang ini, janji yang paling ditunggu oleh rakyat ialah janji manifesto pilihanraya dan janji untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas Tun Mahathir Mohamad.

Tidak dinafikan juga, kedua-dua janji itulah yang turut menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya umum yang lalu.

Oleh kerana sekarang ini Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan dan Tun Mahathir kembali menduduki kerusi Perdana Menteri, ertinya kini adalah fasa untuk menunaikan kedua-dua janji tersebut.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, janji 100 hari dalam manifesto lalu masih banyak yang belum ditunaikan. Janji manifesto yang lain juga dikhabarkan berdepan hal yang sama.

Alasan yang biasa kita dengar ialah kerana kerajaan berdepan kekangan kewangan dan Pakatan Harapan tidak menyangka beban kewangan yang ditinggalkan Najib Razak adalah terlalu besar serta di luar jangkaan.

Sementara mungkin ada yang bersetuju dengan hujah-hujah kerajaan itu, tidak dinafikan kegagalan menunaikan janji manifesto telah mencalarkan sedikit sebanyak keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan, apatah lagi Tun Mahathir adalah ketua kerajaan yang berpengalaman membawa kecemerlangan kepada negara selama 22 tahun sebelum ini.

Bagi kebanyakan rakyat, janji tetap janji dan kalau terpaksa merangkak sekali pun, ia mesti dipenuhi.

Dalam hal ini, jika menjelang PRU15 nanti masih banyak lagi janji manifesto yang tidak dipenuhi, sukar untuk menjangka sama ada Pakatan Harapan ini mampu terus menjadi pilihan rakyat atau sebaliknya.

Serentak dengan kegagalan menunaikan banyak janji manifesto itu, entah bagaimana dalam masa yang sama bercambah pula perkhabaran yang semakin meluas hari demi hari kononnya janji mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 juga bakal dimungkiri sama.

Ia bukan saja terlihat melalui banyak kenyataan Tun Mahathir sendiri yang agak kabur mengenai kedudukan penggantinya itu, dalam waktu yang sama usaha-usaha menonjolkan Azmin Ali seperti bergerak seiring dengannya.

Walaupun selalu mengatakan Anwar adalah penggantinya dan beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, Tun Mahathir seringkali menggunakan perkataan “mungkin” apabila merujuk tempoh masanya menerajui negara ini.

“Mungkin kurang dua tahun dan mungkin juga lebih daripada dua tahun,” kata Tun Mahathir dalam beberapa kenyataan yang pernah diluahkannya.

Kenapakah Tun Mahathir tidak mahu berterus-terang dan bertegas bahawa tempohnya menerajui negara hanya selama dua tahun saja dan selepas itu akan menyerahkan kepada Anwar sebagaimana yang dipersetujui bersama Pakatan Harapan sebelum PRU14 lalu?

Sehingga ke hari ini, setelah tujun bulan berlalu, meskipun Anwar masih dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri ke-8, kedudukannya jelas masih kabur dan tidak menentu.

Ia selain kerana Tun Mahathir tidak mahu bersikap jujur dan masih menunjukkan kekaburan serta dalam masa yang sama banyak menampakkan kelebihan kepada Azmin dan kemnya, yang ternampak jelas juga beliau semakin cuba memperkukuhkan kedudukannya melalui tindakan membawa masuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu.

Jika Tun Mahathir dapat menampakkan pendiriannya yang betul-betul jelas ke arah mahu menyerahkan kuasa dalam tempoh tidak lebih dua tahun sepertimana dijanjikan, rasanya tidak mungkin Anwar melakukan tindakan yang seolah-olah memperlihatkan sikapnya yang tidak sabar mahu mengambil alih kuasa.

Tetapi, oleh kerana Tun Mahathir lebih dulu menunjukkan sikap yang meragukan, maka tidak boleh dipersalahkan kepada Anwar yang dilihat tidak sabar itu.

Anwar hakikatnya hanya bertindak balas untuk melindungi dirinya terhadap apa yang Tun Mahathir lakukan dan bagi memastikan janji peralihan kuasa yang sudah sama-sama dipersetujui benar-benar dipatuhi.

Begitu juga dengan tindakan Rafizi Ramli mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, niatnya hanya bertujuan memastikan Anwar tidak tergugat sebagai pengganti Tun Mahathir.

Janji peralihan kuasa, setelah Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, kalau masih juga cuba dimungkiri, ia hanya akan mencemarkan nama beliau sebagai seorang negarawan saja.

Selepas berjaya menyingkirkan Najib dan dalam usia 93 tahun sekarang ini, tetapi jika masih mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun, apa lagi sebenarnya yang Tun Mahathir kejar dalam sisa-sisa hidupnya? (ShahbudinHusin 21/12/2018)

Friday, December 21, 2018

LOMPAT - APAKAH UMNO SUDAH KARAM?

Image result for umno





Apa sudah jadi pada laungan “Hidup UMNO”?. Laungan ini nampaknya kian sirna daripada arena politik Malaysia. Bukan pemimpin kecil – kecil yang melompat keluar dari UMNO, tetapi pemimpin senior berpengalaman juga kecut lari menyelamat diri.

Mungkin mereka ini khuatir dengan contoh – contoh yang ditunjukkan depan mata mereka. Najib Razak yang dulunya mereka ampu puji kini kerjanya masuk lokap dan keluar lokap. Azeez Rahim yang dulu singa garang kini menjadi tikus yang tertambat dengan kemelut Tabung Haji. Presiden UMNO sendiri, Zahid Hamidi pula nampaknya hanya menunggu masa.
Maka bergetarlah hati – hati para pemimpin UMNO yang merasakan giliran mereka juga sudah berada di hujung simpang.
Beranilah Kerana Benar, Takut Kerana Salah
Pesan saya kepada pemimpin UMNO yang sedang khuatir ini, beranilah kerana benar dan takutlah kerana salah. Teruslah berjuang sebagai pembangkang yang jujur, ikhlas dan berani. Setiap pemerintah memerlukan pembangkang yang berkesan.
Pembangkang yang kuat akan menjadi agen semak dan imbang yang penting dalam memastikan urustadbir negara sentiasa terpandu mengikut kepentingan rakyat. Jika pembangkang benar – benar berkerja jujur, tekad, ikhlas dan konsisten, lambat laun pihak pembangkang yang baik akan menjadi kerajaan juga seperti yang diperolehi Pakatan Harapan hari ini.
Tapi kerjanya tidak mudah. Pihak Pembangkang suatu ketika dahulu terpaksa menempuh lokap, berbaring di atas jalan raya, badan dipijak, baju dikoyak, pedih mata dek gas pemedih mata, diaibkan melalui media – media arus perdana, malah ada yang dipenjara bertahun – tahun.
Kerja Pembangkang Hari Ini Lebih Mudah
Bukan niat untuk bernostalgia dengan romantisme lama, tetapi ingin memberitahu kepada para pemimpin UMNO betapa beruntungnya mereka. Kerja mereka sebagai Pembangkang hari ini sangat mudah hasil usaha Pembangkang terdahulu. Rakyat sudah cukup matang dan kritikal dalam menilai. Kebijaksanaan rakyat ini menjadikan tidak terlalu susah untuk Kerajaan bertukar tangan.
Pembangkang juga hari ini ada ruang seluas – luasnya untuk tampil menerusi media arus perdana. Berdemonstrasi juga bebas tanpa ada provokasi daripada pihak Kerajaan. Lalu apa sebenarnya yang ditakutkan pemimpin UMNO yang melompat ini?
Apa Yang Pelompat Risaukan ?
Jika alasannya mereka tidak biasa menjadi pembangkang, maka inilah masanya untuk mereka menerima hakikat yang rakyat telah memilih Kerajaan baharu dan meletakkan UMNO sebagai pembangkang. Jika alasannya mereka ingin menyumbang tenaga sebagai Kerajaan, mereka perlu tahu bahawa Malaysia baharu ini tidak lagi seperti Kerajaan terdahulu yang meminggirkan Pembangkang. Mereka boleh pada bila – bila masa terlibat, memberi pandangan dan sumbang saran untuk memantapkan agenda rakyat.
Atau sebenarnya para pelompat UMNO ini gelisah kehilangan elaun beribu-ribu ringgit sebulan?, atau mereka terlalu janggal untuk hidup tanpa kuasa untuk meluluskan projek dan menerima lobi – lobi para kontraktor?, atau mereka tak biasa hidup tanpa menggunakan aset – aset Kerajaan yang digunakan seperti harta peribadi sebelum ini?
Atau yang paling mungkin adalah, mereka – mereka ini sedang merayu untuk tidak diberi nasib yang serupa seperti Najib Razak, Azeez Rahim dan Zahid Hamidi.
Pembangkang Yang Kuat Perlu Lebih Dihormati Berbanding Para Pengecut Yang Melompat
Sewajarnya jika pemimpin dan anggota UMNO merasakan UMNO tidak lagi kuat seperti dahulu, maka mereka perlu berusaha untuk membawa kembali UMNO ke landasan perjuangan yang lebih relevan. Bukannya masing – masing melompat untuk menyelamatkan nasib sendiri. Betapa palsunya kesetiaan yang dicanang sebelum ini apabila begitu mudah para pelompat ini meninggalkan bahtera lama mereka yang sedang diuji.
Justeru, saya merakam setinggi – tinggi rasa hormat kepada rakan – rakan UMNO yang masih setia dalam UMNO. Saya merasakan UMNO akan tampil lebih kuat setelah gelombang ini berlalu. UMNO yang kuat bermakna pihak pembangkang juga akan lebih kuat. Pembangkang yang kuat akan membawa banyak manfaat untuk rakyat.
Pakatan Harapan Perlu Berhati – hati Menerima Sang Pelompat
Kerajaan Pakatan Harapan juga perlu berhati – hati dalam menerima kehadiran bertali arus para pelompat ini. Jika mereka ini benar – benar mahu membantu Kerajaan, mereka boleh saja berperanan daripada meja pembangkang. Kerajaan baharu juga perlu sentiasa bermuhasabah. Apakah layanan yang sewajarnya telah diberikan kepada pihak Pembangkang ?. Jangan sampai Pembangkang hari ini merasakan perkara yang sama seperti yang dilakukan Kerajaan terdahulu. Suara Pembangkang tidak didengari dan kehadiran di Parlimen sekadar untuk mendengar pengumuman – pengumuman sebelah pihak Kerajaan.
Malah para pelompat ini perlu melalui proses tapisan yang ketat. Majoriti rakyat telah menghukum UMNO pada Pilihan Raya Umum yang lepas, lalu bagaimana Pakatan Harapan boleh mudah – mudah menerima pelompat ini dengan anggapan mereka sudah ‘bertaubat’.

Thursday, December 20, 2018

WAYTHA - DI PECAT ATAU MAHATHIR DI PECAT....


Di mana-mana saja ketika ini terdapat isyarat yang cukup jelas dan nyata mahukan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy dipecat dengan segera daripada kabinet.

Selain wakil pembangkang dan kerajaan sudah sama-sama senada bersuara mengenainya, petisyen dalam talian yang mendesak  pemecatannya juga sehingga ini sudah mendapat hampir 300 ribu tandatangan sokongan.

Jika kita tanyai orangramai yang lalu lalang di tepi jalan pula, daripada 10 yang ditemui, mungkin kesemuanya sependirian turut mahukan Waythamoorthy disingkirkan sebagai menteri.

Yang nyata, imej buruk beliau lebih teruk berbanding Najib Razak yang ketika skandal 1MDB tengah menjadi perbualan hangat suatu ketika dahulu yang mana daripada 10 orang yang ditemui, barangkali masih ada dua atau tiga orang yang masih suka dan menyokongnya.

Kemarahan orangramai terhadap Waythamoorthy bukan saja kerana insiden kuil di Subang Jaya yang mencetuskan rusuhan dan menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, tetapi juga kerana beliau dilihat langsung tidak berperanan sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan dan intergrasi nasional.

Apakah peranan beliau yang kita sama-sama dapat lihat dari segi memupuk perpaduan dalam negara ini?

Sudahlah ketika insiden rusuhan di kuil itu beliau seolah-olah bertindak menyimbah minyak untuk menyemarakkan lagi api pergaduhan, sedangkan sebagai menteri, tugasnya yang sepatutnya ialah menyiram air untuk meredakan pergaduhan yang sedang berlaku.

Dalam soal menuntut pemecatannya sebagai menteri, ia sebenarnya tidak sesekali bermotifkan perkauman atau kerana beliau berbangsa India, tetapi lebih disebabkan sikap dan pendiriannya yang mengecewakan, selain kemampuan dan kewibawaannya juga sama sekali tiada.

Jika Tun Mahathir merasakan kerusi menteri yang menjaga perpaduan dan intergrasi nasional itu merupakan kouta kaum India, beliau boleh melantik pemimpin India lain yang sederhana, berwibawa, berkelayakan serta diterima ramai sebagai penggantinya.

Rakyat pasti tiada masalah jika penggantinya pemimpin India juga. Tetapi rakyat akan terus bermasalah jika Tun Mahathir tidak mahu memecatnya.

Malah, jika tiada pemimpin India yang layak, selain menteri yang menjaga hal ehwal perpaduan itu patut diserahkan kepada pemimpin Melayu yang mewakili bangsa teras di negara ini, pemimpin kaum Cina yang berkelayakan juga boleh dicuba.

Cuma, jangan sesekali dikekalkan lagi Waythamoorthy di kerusi menteri dalam kerajaan yang ada sekarang ini.

Rakyat tidak boleh lagi menerimanya dan kalau boleh memandang muka, mendengar suara dan menatap wajahnya juga mereka tidak mahu sama sekali.

Tun Mahathir tidak perlu bertangguh lagi untuk memecat Waythamoorthy  itu sebelum lebih banyak insiden buruk yang menjurus kepada perpecahan antara kaum terus berlaku lagi.

Bahkan, kalau Tun Mahathir terus menyimpannya dalam kabinet, penolakan rakyat terhadap kerajaan terus akan lebih membesar dan akhirnya menyebabkan Pakatan Harapan sendiri tidak diingini rakyat lagi untuk terus mentadbir negara ini.

Fikir-fikirkanlah, Tun....(ShahbudinHusin 19/12/2018)


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA