Oleh Lim Yi Wei
Kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya. Fahami kata-kata ini: “Rogol itu jenayah. Dan jenayah itu patut dihukum dengan setimpalnya, bukan diberi ganjaran.”
Saya amat jijik dengan kenyataan Shabudin semalam bahawa kahwin selepas rogol boleh ubati masalah sosial. Ternyata beliau tidak memahami langsung apakah itu rogol, ataupun beliau mungkin tidak berperikemanusiaan kerana menyuarakan pendapat sebegitu.
Biar saya melakarkan sebuah babak rogol untuk Yang Berhormat:
Seorang jurugambar menjadi guru kepada kanak-kanak miskin tegar. Dia dianggap sebagai seorang yang filantropis dan ikhlas.
Namun begitu, guru itu didapati seorang pedofil dan pencabul seksual. Dalam postingnya sendiri di internet bersama pedofil lain, dia mengaku merogol seorang kanak-kanak perempuan sejak kanak-kanak itu berumur 7 tahun. Tiga adik-beradik kanak-kanak itu juga tidak terlepas.
Lebih menjijikkan lagi, guru itu menyatakan hasratnya memupuk kanak-kanak itu supaya menjadi seorang “isteri yang sempurna”. Selepas perkahwinan, dia berhasrat untuk menjadi bapa angkat supaya dia boleh mencabuli kanak-kanak yang lain.
Disebabkan kelonggaran undang-undang di Malaysia berkenaan dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, guru ini mencabuli hampir 200 orang kanak-kanak daripada komuniti miskin tegar.
Nama pedofil ini mungkin pernah kamu dengar. Namanya Richard Huckle.
Apabila skandal Richard Huckle dilaporkan tahun lepas, rakyat Malaysia sebulat suara mengecam tindakannya. Untuk imbasan kembali, antara mangsa Huckle termasuklah seorang bayi yang baru berumur 6 bulan!
Ya, kita marah sangat dengan Huckle. Dan tiada antara kita – termasuk Shabudin – yang memintanya mengahwini mangsa rogolnya. Kita semua sedar bahawa suatu kekejaman yang tidak terhingga diperlakukan terhadap kanak-kanak tak berdosa.
Shabudin dan Barisan Nasional, jangan kamu berani berselindung di belakang agama atau memutarbelitkan fakta untuk memomokkan mereka yang ingin menghentikan perkahwinan kanak-kanak sebagai menentang Islam ataupun Mahkamah Syariah.
Perbahasan ini tiada kaitan dengan agama, ia mengenai keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.
Kanak-kanak perempuan ataupun wanita yang dirogol tidak langsung kehilangan maruahnya. Yang bersalah dan tiada maruah itu perogol, bukan pihak yang dikejami.
Masa depan seorang wanita tidaklah segelap mana sekiranya tidak bersuami. Selain itu, perkahwinan itu sepatutnya membawa kebahagiaan, bukan menjadi hukuman seumur hidup. Apakah itu masa depan yang gelap?
Masa depan yang gelap bermula apabila seorang kanak-kanak berani melaporkan dia dicabuli, dan bertemu pula dengan seorang hakim yang berpendapat seperti Shabudin yang menyuruhnya untuk mengahwini perogolnya.
Masa depan yang gelap itulah apabila kamu hamil disebabkan rogol, walaupun baru berumur 9 tahun dan badanmu tidak berdaya melahirkan anak, apabila kamu terpaksa berhenti sekolah dan bergantung hidup sepenuhnya kepada seorang yang telah mengejami dirimu.
Itulah masa depan yang gelap.
Saya bukannya bersikap dramatis – data dan statistik menceritakan kebenarannya: kadar kematian kanak-kanak perempuan yang melahirkan anak pada usia 15–19 tahun adalah 2 kali lebih tinggi daripada perempuan yang berusia 20–24 tahun.
Sekiranya ahli Parlimen BN ini beria-ia ingin menyelesaikan masalah sosial seperti anak luar nikah dan pembuangan bayi, saya mencadangkan beliau membawa usul mencadangkan pendidikan seks yang holistik diwajibkan di sekolah.
Pendidikan seks yang saya maksudkan itu bukan tantric sex ataupun kelas di mana guru sekadar mengimbas fakta biologi sementara budak tersengih-sengih dengan perkataan seperti “angry bird”.
Yang saya maksudkan adalah pendidikan tentang kesihatan reproduktif, cara membezakan sentuhan yang normal (seperti pelukan ibu bapa) dengan yang abnormal, dan memperkasakan kanak-kanak supaya mereka berani melaporkan sekiranya seorang dewasa berkelakuan abnormal dengan mereka.
Saya tidak menganggap diri saya Tuhan. Saya tidak dapat mengenalpasti siapa yang benar-benar bertaubat atau tidak. Tapi saya nak tegaskan sekali lagi: rogol itu jenayah. Dan jenayah itu patut dijatuhkan hukuman yang setimpalnya, bukan diberi ganjaran.
Kalau Shabudin pentingkan taubat, biarlah perogol bertaubat dalam penjara, bukan memberinya peluang untuk mengejami mangsanya seumur hidup.
Dan kepada pengundi Tasek Gelugor, terutama kaum wanita dan ibu, fikirkanlah masak-masak sama ada kamu mahu seorang seperti Shabudin untuk mewakili kamu di Dewan Rakyat. Kalau beliau tidak bertaubat daripada pemikirannya, saya cadangkan pada pilihan raya umum, undi beliau keluar dari Tasek Gelugor supaya beliau mempunyai 5 tahun untuk bertaubat.
No comments:
Post a Comment