Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Sunday, October 4, 2015

KHALID SAMAD - SIAPA HAJI HADI

ULASAN Apabila mendengar mukadimah ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam rakaman video Mukhayyam Tarbawi PAS Kawasan Machang pada 3 September di Rusila, saya sebenarnya merasa lega.
Terdetik dalam hati saya bahawa kebijaksanaan dan keikhlasan mungkin sudah kembali kepada pimpinan bekas parti saya yang telah saya sertai sekian lama.
Malangnya kenyataan di penghujung video itu tidak sebijak atau seikhlas permulaannya.
Malang sekali apabila kebijaksanaan dan keikhlasan yang diceduk dari kisah para sahabat hanya diceritakan tetapi tidak dicontohi.
Apabila beliau berhadapan dengan suasana yang sama – walaupun jauh tidak mencabar – tidak pula dimanfaatkan kebijaksanaan yang diceritakan. Sepatutnya kebijaksanaan dan keikhlasan yang ditunjukkan Saidina Ali dijadikan pedoman dan panduan, bukan sekadar untuk diceritakan.
Perang saudara
Ucapan Ustaz Hadi Awang bermula dengan mengisahkan perang antara Saidatina Aisyah dan Saidina Ali, iaitu perang Jamal. Ianya peperangan yang tercetus selepas sahaja Ali dilantik sebagai khalifah keempat setelah Saidina Uthman dibunuh.
Maka di atas rasa kewajipan membela Saidina Uthman, Aisyah telah mengepalai bala tentera yang terdiri dari para sahabat, termasuk Talhah dan Az-Zubair. Akhirnya mereka bertempur dengan tentera di bawah pimpinan Ali yang juga terdiri dari para sahabat.
Dalam persoalan ini, di mana Aisyah mengangkat senjata menentang Ali yang merupakan Khalifah yang sah, Ustaz Hadi tegaskan, ianya hasil kejahilan dan ketidakmampuan memahami keadaan politik dengan tepat oleh pihak Aisyah.
Ianya perbezaan pandangan dan pendekatan dan oleh itu, mereka tetap rakan dan saudara seislam dan Aisyah serta Talhah dan Zubair adalah tetap ahli syurga.
Ustaz Hadi meneruskan lagi dengan menjelaskan bahawa begitu juga dengan pihak Khawarij. Pihak Khawarij ini adalah golongan yang mengkafirkan Saidina Ali dan mencaci dan memaki-hamun Saidina Ali secara terbuka di khalayak ramai.
Mereka pernah mengugut untuk membunuh Ali. Namun apabila Ali ditanya oleh para sahabat “siapa mereka ini?”
Ustaz Hadi menjelaskan bahawa Ali menjawab, “mereka adalah saudara kita, kalau mereka hadap kita, kita lawan, mereka lari kita biarkan mereka lari, jangan kejar, buat tak tahu”.
Golongan Khawarij ini terdiri dari golongan muda, kuat beribadat, semangat tinggi tetapi semangat mereka mengatasi ilmu mereka.
Kisah pengajaran
Semasa peristiwa ini berlaku, Saidina Ali merupakan khalifah yang sah. Namun apabila di tentang sehingga ke peringkat mengangkat senjata sekalipun, beliau tetap bertindak secara bijaksana, adil dan penuh keikhlasan.
Saidina Ali tidak mengkafirkan golongan yang menentangnya sewenang-wenangnya sambil menuduh mereka sebagai “terkeluar dari jemaah Muslimin” atau menghalalkan darah mereka. Beliau juga tidak menuduh dan memfitnah mereka dengan tuduhan liar seperti “ingin meruntuhkan binaan Islam”, “gadai prinsip Islam” dan “gila jawatan” atau pun yang sebagainya.
Sebaliknya beliau menyatakan keadaan sebenar, secara adil dan ikhlas tanpa berusaha memburukkan keadaan dengan fitnah dan tohmahan demi kepentingan dirinya.
Saidina Ali mengakui dan memahami, kesemua itu berlaku dalam keadaan masing-masing inginkan keadilan dan kebenaran, berniat baik walaupun ada yang jahil dan tersilap pendekatan. Beliau berusaha mendamaikan dan di mana pendamaian tidak mungkin, beliau tidak sama sekali mengeruhkan lagi suasana dengan tuduhan liar terhadap pihak yang satu lagi walaupun mereka angkat senjata menentangnya!
Di atas sifat adilnya Ali, maka perperangan dengan Aisyah berakhir dengan baik dan Aisyah sendiri mengakui kesilapan beliau kemudiannya. Adakah itu mungkin sekiranya Saidina Ali bertindak secara sewenang-wenangnya terhadap Aisyah dengan menuduhnya dengan tuduhan yang direka-rekanya?
Sudah pasti tidak.
Walaupun Saidina Ali terbunuh dan tidak berjaya masalah golongan Khawarij, sejarah menjadi saksi akan ketelusan dan kejujuran Ali dalam menangani perbalahan ini.
Seperti dengan kes Aisyah, Saidina Ali berkata benar terhadap golongan Khawarij dan tidak mengkafirkan mereka sewenang-wenangnya atau menuduh mereka dengan tuduhan yang direka-reka.
Dan sebenarnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang bijak lagi adil dan ikhlas. Sejarah menjadi saksi akan keadilan dan keikhlasan Ali walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan sangat mencabar.
Peristiwa perang Jamal dan kemunculan Khawarij itu berlaku supaya ianya menjadi pengajaran, contoh dan tauladan untuk diikuti, bukan sekadar sebagai bahan cerita.
Mari kita lihat pada keadaan perbalahan yang telah berlaku di dalam PAS sehingga terhasilnya suasana sekarang. Cuba kita aplikasikan pengajaran dari peristiwa yang berlaku pada zaman Saidina Ali yang dijelaskan sebentar tadi.
Perlu ditanya, adakah jawatan presiden sebuah jemaah Islam, seperti PAS, boleh disamakan dengan jawatan Amirul Mukminin? Adakah perbalahan yang berlaku dalam PAS tempoh hari dan antara Parti Amanah Negara dan PAS dewasa ini sehingga ke tahap mengangkat senjata? Sudah pasti jawapan untuk kedua-dua soalan tersebut adalah “tidak”.
Walaupun kedudukan dan hak dirinya untuk ditaati tidak seperti Saidina Ali dan penentangan yang dihadapinya tidak sekeras penentangan yang dihadapi Ali, namun reaksi presiden PAS terhadap keadaan sekarang jauh lebih keras berbanding respon dari Saidina Ali.
Adakah sikap ini wajar?
Di sisi presiden PAS, tindakan kami seolah-olah lagi teruk dari tindakan Aisyah dan Khawarij dan oleh itu kumpulan kami mengikut beliau mesti dihapuskan. PAS boleh bertahalluf dengan lawan sekalipun tetapi tidak dengan AMANAH yang digelar pengkhianat.
Siapa yang dikhianati? Kalau sekadar tidak mahu mengikut kepimpinannya atas sebab-sebab telah bertukar wajah, adakah bererti kami sudah khianati Islam? Adakah semestinya Islam itu hanya berlegar di sekeliling PAS?
Dan demi membenarkan sikap beliau maka terpaksa direka tuduhan dan fitnah.
Pembohongan
Ustaz Hadi cuba menjustifikasi sikap dan tindakan beliau terhadap kami yang tidak lagi bersetuju dengan kaedah yang dipilih beliau, sehingga kami keluar dan menyertai AMANAH.
Maka beliau mereka pula tuduhan yang langsung tidak masuk akal. Antara yang disebut dalam video tersebut adalah: “Ingin meresapkan Pakatan Rakyat dalam PAS sehingga PAS tiada lagi”
Sekiranya tuduhan itu benar, bahawa kami tidak ingin wujudnya parti politik Islam secara tersendiri dan ingin ianya larut hilang dalam Pakatan Rakyat, mengapa kami bersusah payah menubuhkan sebuah parti baharu yang berasaskan Islam?
Tidakkah lebih mudah kami masuk sahaja PKR atau DAP dan dengan itu soal meresapkan parti Islam dalam Pakatan Rakyat sehingga hilangnya identiti dan perjuangan parti Islam tersebut akan terus tercapai?
Hakikat bahawa kami berusaha mewujudkan parti Islam baru yang tersendiri dengan identiti tersendiri adalah bukti bahawa tuduhan tersebut adalah satu pembohongan yang jelas dan nyata.
Kedua, Ustaz Hadi mendakwa: “Peguam mereka ingin pinda perlembagaan sehingga hilang kuasa Al-Quran, sunnah, ijma dan qiyas dalam PAS”
Ini malangnya satu lagi pembohongan yang jelas dan nyata. Budaya membohong dan memfitnah merupakan budaya baru dalam PAS. Hakikat bahawa ia diteruskan adalah bukti bahawa tiada kekesalan terhadap wujudnya budaya fitnah dan label-melabel oleh golongan asatizah muda dalam PAS. Malahan ianya disambut dan dikembangkan pula oleh presiden PAS sendiri.
Cubalah fikirkan, jika kami tidak ingin Al-Quran, sunnah, ijma dan qiyas sebagai panduan, apa guna dinyatakan Islam adalah dasar perjuangan Parti Amanah Negara?
Sebenarnya pindaan perlembagaan yang diusahakan oleh golongan peguam adalah di atas arahan AJK PAS Pusat. Sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Tuan Haji Asmuni Awi dan jawatankuasa ini belum lagi selesaikan tugasnya.
Sekiranya selesai, cadangan pindaan itu perlu dikemukakan ke AJK PAS Pusat terlebih dahulu untuk diluluskan. Sekiranya diluluskan di peringkat AJK PAS Pusat maka perlu pula ianya dikemukakan kepada muktamar untuk kelulusan sebelum menjadi muktamad.
Oleh itu amat besarlah pembohongannya apabila dituduh golongan peguam yang selama ini berkhidmat untuk kepentingan PAS, secara ikhlas dan percuma, mempunyai niat jahat seperti itu. Lebih-lebih lagi apabila mereka bertindak atas arahan AJK PAS Pusat yang juga termasuk presiden sendiri.
Saya akan tulis penjelasan berhubung tuduhan ini secara khusus dan lebih terperinci di dalam artikel seterusnya, lengkap dengan cadangan pindaan yang ingin dibawa.
Tuduhan ketiga: “Mereka mahu jadikan PAS Sekular”
Pembohongan bahawa kami ingin jadikan PAS sekular tidak perlukan penjelasan panjang. Kalau kami inginkan sebuah parti sekular maka kenapa pula kami menyertai PAS? Kenapa pula disebut Islam sebagai dasar Parti Amanah Negara? Tidakkah sekular itu bererti memisahkan agama dari politik? Semesti orang yang sekular tidak akan bersama atau mewujudkan parti politik Islam.
Tuduhan keempat: “Perancangan antarabangsa”
Tidak cukup dengan pembohongan di atas, maka dijaja pula “Perancangan Antarabangsa”. Kalau diulang dengan beberapa kali boleh kedengaran semakin mirip Umno. Sama seperti tuduhan yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen kuasa asing, kuasa antarabangsa. Atau alasan untuk membela Datuk Seri Najib Razak yang kononnya ingin dijatuhkan hasil perancangan antarabangsa.
Kalau ada sebarang “perancangan antarabangsa”, sekalipun maka ianya semestinya inginkan supaya PAS kembali ke zaman 60-an. Berseorangan, terpencil dan kurang sokongan. Dan inilah yang sedang dilakukan secara sedar atau tidak oleh pimpinan PAS sekarang.
Pada masa yang sama PAS pula memainkan peranan tradisi Umno iaitu menguar-uarkan ancaman kaum Cina dan bahayanya DAP, yang sudah pasti hanya menyebabkan Melayu terus bersama Umno/BN. Mungkin itulah sebenarnya perancangan antarabangsanya. Supaya Umno/BN kekal berkuasa dengan bantuan PAS.
Ya benar, DAP memang menyebut mereka lebih selesa berurusan dengan kumpulan kami dan mereka mengharapkan kami kekal sebagai pimpinan PAS dalam muktamar yang lepas. Itu adalah kerana mereka telah banyak berurusan dengan kami dalam usaha membina kekuatan Pakata sejak 2008 dan melalui Barisan Alternatif sebelum dari itu.
Pihak lain dalam PAS hanya menikmati hasil usaha bersama ini sehingga menang 15 kerusi di Selangor dan sebagainya. Mereka tidak pernah turun bertemu dan berbincang dengan pimpinan bukan Islam seperti yang dari DAP.
Oleh itu apabila pimpinan DAP melihat kami diserang teruk sebelum muktamar, maka DAP khuatir wajah PAS akan berubah dan kemenangan bersama yang diperolehi selama ini akan hancur berderai. Tetapi apakah salah untuk mereka berpendirian begitu? Ia bukan persoalan ingin menguasai PAS tetapi ingin PAS kekal atas pendekatan yang sama.
Hakikatnya kekhuatiran mereka terbukti berasas. PAS sekarang tidak seperti PAS dahulu dan kekuatan yang sekian lama dibina hancur berderai.
Adakah wajar usaha DAP untuk menyatakan sokongan mereka terhadap golongan yang bersama membina Pakatan Rakyat tempoh hari diselar sebagai usaha campur tangan kuasa asing dan perancangan antarabangsa?
Apa bukti yang dikemukakan untuk menyokong tuduhan ini? Adakah rakyat boleh yakin dengan corak kepimpinan yang suka menuduh dan memfitnah tanpa asas dan bukti? Sudah pasti rakyat tertanya-tanya, bolehkah kepimpinan sebegini menjamin keadilan sekiranya diberikan kuasa?
Pokoknya, PAS perlu contohi pendekatan Saidina Ali apabila menangani suasana perbezaan pendapat dan pendekatan. Akui kebenaran yang wujud pada pihak lain, walaupun sekiranya hanya dianggap sebahagian sahaja yang benar dan kebenaran itu pula tidak begitu tepat.
Fahami niat dan tujuan mereka dan perakui kewajaran niat dan tujuan itu walaupun tidak bersetuju dengan kaedah pendekatannya. Maka barulah akan terzahir keadilan dan keikhlasan kepimpinan dalam Islam.
Tidak perlu memfitnah dan mereka-reka cerita serta menuduh tanpa bukti. Untuk terus berbohong dan mereka-reka cerita serta melemparkan fitnah, itu bukan kaedah pimpinan Islam. Itu, bagi pandangan saya yang bukan ulama ini, mungkin boleh digambarkan seakan-akan kaedah pendekatan yang selalu dimainkan oleh Umno.

KHALID SAMAD ahli jawatankuasa pusat Parti Amanah Negara dan MP Shah Alam.

 Tulisan ini pertama kali disiarkan di blognya, khalidsamad.com.


1 comment:

  1. Anggap kumpulan sendiri sahaja yg benar dan menganggap sesat yg selainnya, adalah ciri ideologi khawarij.

    ReplyDelete


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA