IBRAHIM ALI ATAU ANWAR IBRAHIM


Mana Lebih Baik Untuk Malaysia, Ketiadaan Anwar Atau Ibrahim Ali?
Dalam usaha membodek dan mahu menunjukkan dirinya penting kepada
perjuangan UMNO serta Najib Razak, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali
meneruskan lagi serangannya terhadap Anwar Ibrahim. Mungkin barangkali
kerana ampu dan bodek yang banyak dilakukannya sebelum ini masih belum
mendapat perhatian yang sewajarnya daripada Najib Razak serta Rosmah
Mansor, maka kali ini bodekannya boleh dianggap paling "gila" dan
mungkin hanya dua tiga orang saja dalam dunia ini yang sanggup
melakukannya.
Apa tidaknya, kali ini beliau mendoakan agar Anwar, rakan lamanya yang
sama-sama pernah merengkok di penjara Kamunting selama dua tahun, segera
dimasukkan ke dalam penjara berkaitan kesalahan liwat yang dijatuhkan
oleh Mahkamah Rayuan dan hanya menunggu rayuan terakhir di Mahkamah
Persekutuan.
Tambah Ibrahim lagi, dengan Anwar merengkok di penjara ia adalah baik
untuk negara ini kerana selama ini bekas Timbalan Perdana Menteri itu
banyak menyusahkan pihak keselamatan negara.
"Saya bersyukur dan gembira jika Anwar dipenjarakan, lagi cepat di masuk
lagi baik. Ia baik untuk rakyat dan negara, juga baik untuk pihak
keselamatan yang pening dengan karenah Anwar selama ini," katanya.
Selain itu, Ibrahim juga berkata, beliau turut akan mengadakan
kenduri kesyukuran jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara
keatas Anwar iaitu lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan
baru-baru ini.
Dengan mendoakan Anwar segera ke penjara serta akan mengadakan kenduri
kesyukuran mengenainya, tidak syak lagi tahap bodek dan ampunya kali ini
boleh dianggap paling "gila" kerana orang yang didoakannya itu pernah menjadi kawan baiknya sebelum ini. Lebih-lebih lagi, Anwar pula bukanlah bermusuh secara langsung dengan beliau.
Musuh Anwar yang sebenar ialah Najib Razak dan Mahathir Mohamad. Jika
Mahathir pernah memenjarakan Anwar adalah mungkin kerana faktor
perebutan kuasa, Najib juga jika melakukannya adalah kerana hal yang
sama. Ia tentulah boleh difahami tetapi apa hal pula Ibrahim sampai
tergamak mendoakan Anwar segera ke penjara serta akan mengadakan kenduri
kesyukuran pula kalau bukan untuk membodek dan mengampu Najib?
Apa untungnya kepada beliau jika Anwar dipenjarakan? Adakah beliau pasti
jika Anwar ke penjara, doanya itu akan dihargai oleh Najib?
Benarkah jika Anwar ke penjara dan Malaysia tanpa Anwar Ibrahim, keadaan
negara menjadi lebih baik? Atau mungkinkah tanpa pembangkang yang kuat
yang diasaskan oleh Anwar selama ini, Najib dan barisan kepimpinan
negara lebih bermaharajalela lagi merompak dan melanun kekayaan negara
ini?
Dalam konteks yang lain pula, yang mana satu lebih baik untuk negara ini, tanpa Anwar atau tanpa Ibrahim Ali?
Apabila Ibrahim bersuara lagi untuk kali entah ke berapa menyerang
Anwar sejak Najib menjadi Perdana Menteri, terutama mendoakan Anwar
segera ke penjara, sebenarnya begitu banyak tanda soal bermain-main di
kepala rakyat Malaysia, terutama yang mengenali bekas Ahli Parlimen
Pasir Mas itu.
Apa lagi yang dimahukannya daripada Najib dan apa lagi yang masih tidak cukup dalan hidupnya ketika usia emas sekarang ini?
Kepada yang tidak mengenali dan sekadar mengikuti pelbagai kenyataannya
di media sebelum ini, ramai juga yang geleng kepala dengan perlakuannya
itu serta tidak menganggapnya tidak wajar dilakukan oleh seseorang dalam
berpolitik.
Sejak 1998, Anwar telah mengasaskan kebangkitan dan kesedaran kepada
rakyat mengenai politik dan peri pentingnya sama-sama menyayangi negara
ini. Melalui parti yang ditubuhkannya iaitu PKR serta berjaya menubuhkan
gabungan yanf kuat bersama Pas dan DAP, keduduhan pembangkang menjadi
paling kuat dalam sejarah negara.
Melalui kewujudan pembangkang yang kuat, amalan "check anda balance"
terhadap kerajaan menjadi lebih berkesan. Banyak salah laku,
penyelewengan, amalan rasuah dan seumpamanya telah didedahkan kepada
umum dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada keadaan yang lebih
baik dari segi pengurusan dan perbelanjaan wang negara.
Beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan
Terengganu pula telah mengalami pertukaran kerajaan negeri sejak Anwar
mengasaskan reformasi rakyat dan ini juga memberi pengalaman kepada
rakyat untuk menilai kerajaan manakah yang lebih baik dan akhirnya
mana-mana kerajaan yang dipilih akan berusaha sebaik mungkin untuk
mengutamakan kepentingan rakyat.
Sama ada karenah politik Anwar memening atau menyusahkan kerajaan, ia
sebenarnya adalah ujian kepada ketegasan serta kebijaksanaan pemimpin
yang sedang memegang kuasa. Bukankah negara kita cukup dengan segala
undang-undang, akta dan peraturannya?
Jika beliau didapati bersalah dan melanggar mana-mana undang-undang,
peraturan atau akta, gunakanlah peruntukan yang sudah tersedia itu.
Tetapi jika pemimpin yang berkuasa takut untuk menggunakan kuasa
terhadap Anwar, tidaklah wajar Ketua Pembangkang itu dipersalahkan dan
dianggap banyak menyusahkan kerajaan. Ia adalah kelemahan pemimpin yang
diberikan kuasa itu dan pemimpin seperti ini sudah sewajarnya
ditumbangkan.
Ibrahim Ali pula, sejak mengenal perjuangan politik yang bermula
melalui gerakan pelajar, telah terlibat dalam banyak wadah perjuangan.
Bermula dengan Berjasa, kemudian menyertai UMNO, keluar UMNO masuk
Semangat 46, kemudian masuk UMNO semula, meminjam tiket Pas pada
pilihanraya 2008 dan kemudian mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas
tapi mesra BN.
Sejak menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau menubuhkan NGO Perkasa yang
meletakkan agenda perjuangan Melayu sebagai landasannya bersuara. Namun
dalam banyak hal, perjuangan Perkasa lebih banyak membela Perdana
Menteri serta mempertahankan kekuasaan UMNO. Dalam pilihanraya 2013
lalu, beliau bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas tetapi disokong
oleh UMNO dan BN tetapi tewas.
Selain menjadi pemimpin yang paling banyak melompat dan mudah tidak puas
dengan satu-satu wadah perjuangan, Ibrahim Ali juga kerap mengeluarkan
kenyataan sensasi untuk menonjolkan dirinya. Daripada mahu mencium
punggung Mahathir, membakar kitab Injil berbahasa Melayu, mengeluarkan
kenyataan berbaur perkauman, melakukan pelbagai serangan keterlaluan
kepada Anwar dan lain-lain pemimpin pembangkang dan macam-macam lagi,
beliau juga bolehlah dianggap pemimpin yang paling banyak bersuara dan
mengeluarkan kenyataan.
Hampir setiap hari ada ada kenyataan, komen atau reaksinya yang boleh dibaca oleh rakyat negara ini.
Akhbar Utusan misalnya, umpama hilang seri jika diterbitkan tanpa ada berita mengenai Ibrahim Ali atau Perkasa.
Tetapi melalui banyak kenyataan yang dikeluarkannya atau parti yang
disertainya, apakah jasa dan sumbangan Ibrahim Ali kepada negara ini?
Bolehkah ada sesiapa yang boleh menyebut satu sumbangan besar Ibrahim
Ali kepada negara? Antara Anwar dan Ibrahim Ali pula, siapakah yang
paling berguna dan siapakah pula yang jika ketiadaannya lebik baik untuk
negara ini?
Barangkali elok juga jika Merdeka Center atau Umcedel dapat membuat kaji
selidik mengenainya dan mudah-mudahnya hasil dapatannya nanti akan
membuatkan ada yang segera sedar diri. (SH 02/05/2014)
-shahbudindotcom
No comments:
Post a Comment