MH370 - NAJIB AMAT TERTEKAN......
Misteri MH370 kini mula bertukar jadi tekanan terhadap Najib – Shahbudin Husin
Misteri kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari kelima
tanpa sebarang jawapan kini sudah beransur-ansur bertukar menjadi
tekanan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di
mana pelbagai pihak sama ada dalam negara, mahu pun antarabangsa mulai
melihat aspek kecelaruan, tiada kesepakatan dan saling menuduh dalam
proses mencari jawapan pesawat yang hilang itu.
Sementara waris mangsa turut merungut kerana sejak hari pertama lagi
tiada keselarasan dalam menyampaikan maklumat sehingga ada yang
meluahkan kemarahan dengan membaling air kepada petugas MAS di Beijing,
rakyat dalam negara dan masyarakat antarabangsa juga turut keliru dengan
pelbagai maklumat yang bercampur antara yang benar dengan yang palsu.
Walaupun pelbagai pihak daripada semua keturunan, agama dan kepercayaan
tidak putus-putus mendoakan agar pesawat yang ditakrifkan hilang itu
segera ditemui dan semua penumpangnya selamat, mereka juga sebenarnya
ingin mendapatkan maklumat terkini yang pantas dan tepat.
Namun, hari demi hari yang berlalu sebenarnya lebih membuktikan kita
tidak cukup bersedia untuk menghadapi krisis dan bencana yang menimpa.
Daripada pimpinan kerajaan, jabatan kerajaan dan ketua jabatan yang
berkaitan terlihat seperti hilang punca dalam menangani dan menyalurkan
maklumat mengenai insiden ini.
Hishammuddin Hussein yang diberi dua kementerian iaitu Kementerian
Pertahanan dan memangku di Kementerian Pengangkutan oleh Najib Razak,
sebagai sebahagian pelan meningkatkan imejnya di kalangan perwakilan
Umno seharusnya bertanggungjawab penuh dalam menyelaras dan memastikan
maklumat yang tepat disalurkan kepada pelbagai pihak, ternyata gagal
berbuat demikian.
Bloomberg hari ini, selepas hari kelima kehilangan pesawat itu masih
menjadi misteri, secara terbuka mengkritik ketidakselarasan dan
ketidakcekapan Malaysia dalam mengurus krisis yang digambarkan sebagai
salah satu kelemahan kepimpinan perdana menteri kerana masih terbelenggu
dengan kawalan ketat terhadap maklumat yang diamalkan kerajaan sejak
lebih 50 tahun lalu.
Di samping melaporkan kebimbangan China yang meminta Najib supaya lebih
bersikap telus dalam menangani krisis yang menjadi perhatian dunia ini,
peranan sepupunya, Hishammuddin dalam mengamalkan ketelusan dan tidak
menjadikan usaha mengendalikan isu global seperti menguruskan isu
politik domestik, nyata satu gambaran yang memalukan negara.
Kritikan itu tentunya bukan sahaja kerana peranan pemangku menteri
pengangkutan yang tidak menyerlah sejak lima hari yang lalu dalam
mengetuai operasi, tetapi juga penglibatan beberapa menteri lain yang
menjadikan keadaan bertambah serabut.
Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi misalnya, ketika mengulas mengenai
wujudnya penumpang yang menggunakan pasport curi menempelak kakitangan
Jabatan Imigresen di KLIA yang didakwanya tidak dapat membezakan antara
wajah orang Asia dengan Eropah.
Dengan hanya bersandarkan andaian kerana dua warga Italy dan Austria itu
kehilangan pasportnya di Thailand, Zahid terus beranggapan bahawa
pemegang pasport curi itu juga berasal daripada Thailand.
Ia nyata memalukan Zahid kerana akhirnya terbukti kemudiannya mereka
yang memiliki pasport curi itu adalah warga Iran yang kita semua maklum
mempunyai bentuk wajah dan kulit hampir sama dengan orang Eropah.
Di ketika lain pula, sementara berpuluh-puluh kapal laut dan kapal
terbang sedang dikerahkan mencari dan menyelamat di Laut China Selatan
dan Selat Melaka, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri
Yaakob pula dikhabarkan mengerahkan lebih 1700 bot nelayan dan lebih 20
ribu nelayan bagi membantu operasi mencari pesawat MH370 ini.
Terlihat bahawa kenyataan ini lebih didorong oleh keghairahan terhadap
publisiti semata-mata kerana apalah yang boleh dilakukan oleh bot
nelayan yang tiada kelengkapan mencari dan menyelamat itu.
Bot nelayan yang tiada kelengkapan mencari dan menyelamat hanya lebih
kurang sama dengan kapal selam Scorpene yang tidak digunakan untuk
mencari pesawat MH370 kerana tidak dilengkapi kemudahan seperti itu.
Apa yang boleh dilakukan oleh nelayan hanyalah menyampaikan maklumat sambil menangkap ikan.
Tidak perlu dikerah nelayan untuk berbuat demikian kerana sekiranya
mereka ternampak kapal terhempas atau menjunam ke dalam laut, sudah
pasti mereka akan memberikan maklumat secara sukarela kepada pihak
berkuasa.
Di sisi lain pula, maklumat antara MAS, Jabatan Penerbangan Awam dan polis sering pula bercanggah antara satu sama lain.
Dalam isu penumpang membeli tiket tetapi tidak menaiki kapalterbang dan
isu pemilik pasport curi, jelas terlihat ada percanggahan memalukan
antara jabatan ini.
Jabatan Penerbangan Awam misalnya mengesahkan ada pembeli tiket yang
tidak menaiki pesawat tetapi kemudiannya dinafikan oleh MAS dan polis.
Pada peringkat awal juga Jabatan Penerbangan Awam mengatakan pemilik
pasport curi itu berkulit hitam tetapi akhirnya terbukti merupakan
rakyat Iran.
Dalam masa yang sama, rakyat dalam negara bertambah keliru dan senak
perut apabila pelbagai berita yang tidak disahkan kebenarannya seperti
pengakuan nelayan, petani dan orang awam yang mengaku melihat pesawat
yang hilang itu, turut dijadikan bahan berita dan dijadikan rujukan.
Bomoh dan pawang yang membawa bubu dan tikar terbang juga terlihat
menjalankan upacara peliknya di KLIA sambil mendakwa mengetahui di mana
pesawat itu berada ketika ini.
Sudahlah kelewatan dan ketidakselarasan menyalurkan maklumat merupakan
sesuatu yang memalukan negara di mata dunia, kemunculan bomoh ini
menambahkan lagi malu yang ada.
Seharusnya dalam menangani bencana besar dan menjadi tumpuan seperti
ini, sesuatu kawalan hendaklah diadakan bagi mengelakkan perkara
karut-marut ini daripada turut menyibuk sama.
Di sinilah sebenarnya mustahaknya nilai kepimpinan yang berwibawa dalam diri individu yang mengetuai operasi menyelamat ini.
Daripada semua percanggahan, kecelaruan, ketidakcekapan dan kelambatan
maklumat dalam krisis MH370 ini, ia secara perlahan-lahan mula
menyerlahkan bahawa pasukan pentadbiran Najib lebih dipenuhi oleh
individu yang tidak cekap dan kurang upaya.
Kebolehan mereka hanyalah membodek, mencium tangan dan menyerang parti pembangkang.
Lagi lambat MH370 ini ditemui, lebih banyak kelemahan yang selama ini
tersembunyi akan terdedah kepada umum. Kritikan antarabangsa juga akan
meningkat.
Selain pasukan penyelamat Vietnam yang sudah menggantung operasinya
kerana masih menunggu jawapan sejak dua hari lalu tetapi masih tiada
jawapan mengenai lokasi sebenar pesawat itu dipercayai hilang, pasukan
daripada China juga dilaporkan sudah mengadakan mesyuarat tergempar
dengan Malaysia berikutan usaha pencarian selama ini seolah-olah tidak
berfokus.
Pasukan penyelamat Thailand juga dilaporkan mengambil tindakan yang sama
dengan Vietnam sehingga mereka benar-benar diberikan maklumat yang
sahih dimanakah pesawat itu kali terakhir dilaporkan hilang oleh pihak
kerajaan kita.
Najib yang baru terselamat daripada tekanan dalam negeri berikutan
kejayaan menghalang Anwar Ibrahim daripada bertanding di Kajang dan
menjadi Menteri Besar Selangor, kini diburu tekanan yang tidak diduga
berikutan kehilangan pesawat MH370 ini.
Tekanan terhadap keupayaan kerajaan yang sedang dipimpinnya kini mula
datang daripada banyak penjuru di dalam dan juga luar negara.
Semakin lama kehilangan pesawat ini menjadi misteri antarabangsa, ia dipercayai semakin menggoncang kedudukan Najib.
Jika di Jepun atau beberapa negara lain, kejadian seperti ini pasti
menyebabkan ada pemimpinnya yang berani memikul tanggungjawab dan
meletakkan jawatan, seseorang juga mesti bertanggungjawab atas insiden
MH370 ini, apatah lagi jika akhirnya nanti diketahui tragedi kehilangan
ini ada kaitan dengan rampasan kapal terbang. – shahbudindotcom.
No comments:
Post a Comment