Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Saturday, December 1, 2018

PEMILIHAN PKR: BIDUK BERLALU KIAMBANG TIDAK BERTAUT? - SATU DAPATAN

Pemilihan PKR: Biduk berlalu kiambang tidak bertaut?


Ucapan pertama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dalam merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) menimbulkan kontroversi.
Ucapan itu didakwa memasukkan beberapa tempat yang menjadi kubu kuat kem Rafizi dan dianggap sindiran kepada pesaingnya yang kalah dalam pemilihan jawatan timbalan presiden parti.
“Pimpinan dan calon-calon yang menawarkan khidmat untuk berbakti kepada perjuangan telah bertebaran di seluruh pelusuk negara dari Sungai Petani ke Johor Bahru, Gombak ke Pandan dan merentasi Laut Cina Selatan untuk berkampung di Tawau, Pensiangan dan Julau.
“Saya berharap semangat ini tidak bermusim dan akan terus mendampingi anggota untuk pengukuhan perjuangan PKR khususnya di negeri Sarawak yang akan menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi,” kata Azmin.
Amat sukar untuk menganggap tempat-tempat itu hanya kebetulan disebut. Rakyat lebih percaya ucapan itu adalah gurauan nakal Azmin. Manakala penganalisis politik membacanya sebagai permusuhan yang belum boleh didamaikan di antara kedua-dua kem walaupun pemilihan telah tamat.
Tidak sampai 24 jam selepas itu, ucapan terakhir Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin yang menyokong Azmin mengejutkan seluruh negara. Di penghujung ucapan beliau, Dr Afif mengangkat kertas cai pasukan Rafizi dan mengoyaknya secara terbuka dengan luahan
“Inilah yang kita pertahankan sepanjang sembilan minggu. Bukan lagi bicara soal idealisme perjuangan. Bukan lagi bicara soal siapa yang buat kerja dan tak buat kerja. Bukan lagi bicara soal siapa layak dan tidak layak.
“Yang penting kertas ini masuk dan terletak di tepi tablet. Senipis inilah nilai masa depan parti PKR,” katanya.
Tidak mudah memaafkan
Secara umum ahli PKR maklum Azmin bukanlah pemimpin yang mudah untuk melupakan lawan sebagaimana Anwar memaafkan Tun Mahathir yang didakwa terlibat dalam konspirasi politik memenjarakan beliau dua dekad lalu.
Apatah lagi praktik politik Azmin sejak sekian lama mengumpulkan penyokong dalam kem yang digelar ‘kartel’ meskipun di luar musim permilihan. Malah kartel ini digambarkan mempunyai agenda yang tersusun dan dibiayai dana.
Dua kutub berbeza
Ketika pilihan raya umum (PRU) lalu misalnya kartel bergerak sendirian dan tidak menyertai kem Invoke atau gerak kerja yang disusun ibu pejabat PKR. Terdapat dakwaan dari sumber dalaman, sekiranya pemimpin kem kartel diundang untuk program yang dianjurkan ibu pejabat maka mungkin program itu yang terakhir kali dihadiri dan pemimpin itu kemudiannya tidak lagi datang. Pemimpin dalam kem Invoke pula tidak mungkin dijemput dalam gerak kerja kartel. Malah bagi pemimpin utama yang menyokong Azmin, apabila nama Rafizi disebut maka akan terhambur kritikan pedas tanpa hujung pangkal.
Budaya seperti ini memburukkan PKR pada pandangan rakyat biasa. Malah budaya itu juga menyebabkan banyak ahli PKR menyertai kem Azmin untuk mendapatkan sedikit laba. Penyokong Azmin di peringkat Ranting atau Cabang tidak dinafikan mendapat peruntukan tertentu bagi menganjurkan program secara one off. Sedangkan pemimpin yang setia kepada ibu pejabat atau dikenali sebagai kem Dr Wan Azizah tidak mempunyai peruntukan untuk menganjurkan program. Akhirnya praktik itu menimbulkan budaya ‘bodek’ dan ‘jek’ bagi mendapat lebih peruntukan.
Hal ini adalah batu penghalang utama penyatuan dalam PKR selepas pemilihan. Malah dijangka akan terus wujud dua kem apabila pasukan Rafizi mengharapkan Invoke mendanai program mereka dan kartel mengagihkan dana tersendiri.
Gerak kerja caca-merba
Sekurang-kurangnya pada PRU lepas pertembungan dua kem itu menyebabkan gerak kerja dan kempen PKR agak kelam kabut serta tidak mengikut strategi ibu pejabat. Kem Azmin berjuang mempertahankan Selangor dan tidak menghiraukan sangat usaha untuk menawan Malaysia. Ia dapat difahami kerana Azmin merajuk apabila Rafizi sering kali menggagalkan ideanya untuk bekerjasama dengan PAS.
Rafizi adalah pemimpin yang bertanggungajwab mempengaruhi Presiden Dr Wan Azizah sewaktu menjadi Setiausaha Agung PKR agar menyokong (endors) usul beliau menubuhkan Pakatan Harapan (PH) dalam mensyuarat di sebuah hotel di Subang pada 2015. Azmin yang tidak berpuas hati keluar awal dan meninggalkan majlis itu.
Sehingga dua tahun selepas itu, Azmin masih terus memujuk Presiden PAS, Hj Hadi untuk menjalin kerjasama bagi menghidupkan kembali Pakatan Rakyat. Malangnya kem Rafizi terus menggagalkan usaha Azmin apabila membawa masuk Bersatu ke dalam PH pada 2017. Tawaran awal yang difikirkan oleh pimpinan atasan PKR adalah formula Bersatu berada di luar PH dan PAS akan dibawa masuk.
PAS tidak menerima Bersatu kerana dendam kepada pengerusinya Tun Mahathir yang didakwa menyebabkan 13 ahli parti itu terkorban di Memali dalam tragedi Baling pada 1985. Oleh itu, wujud formula PH + Bersatu yang pada logiknya tidak memungkinkan Tun Mahathir dicalon sebagai PM ke 7.
Tanpa PAS PH lingkup
Oleh kerana idea kem Azmin disailang maka mereka tidak begitu berusaha untuk menumbangkan BN di seluruh Malaysia. Mereka menganggap tanpa PAS dan pertandingan 3 penjuru akan menyebabkan PH hilang deposit. Idea menumbangkan BN selepas itu lebih kepada daya usaha Invoke yang mengerakkan kempen dan dana ke atas 40 kerusi marginal (kalah tipis) dalam PRU 13 lalu. Hasilnya hampir kesemua calon yang ditaja Invoke itu menang.
Rafizi berkempen membawa track record ini dalam pemilihan PKR. Kem Azmin pula tegas dengan pendirian bahawa rakyat ingin berubah dalam PRU 14. Perubahan yang mereka lakukan itu tiada kena mengena dengan hasil usaha Rafizi. Malah tanpa wujud PH atau PKR terus bersama Pas sekali pun Pakatan akan menang.
Maka penyatuan antara kedua-dua kem diramal bakal kelam kerana tidak ada usaha untuk mengiktiraf jasa pemimpin yang telah menyumbang wang ringgit dan keringat. Malah tidak mustahil pertikaian akan lebih meruncing selepas ini kerana salah satu kem menganggap kem yang lain tidak diperlukan dalam parti.
Telah kedengaran suara-suara dari kem Azmin yang menegaskan selepas ini gerak kerja PKR akan lebih mudah kerana kesemua kedudukan penting dikuasai orang-orang Azmin. Maka tentunya idea daripada mana-mana pimpinan yang bukan kartel akan ditolak.
Dedah kebenaran
Bagaimanapun ada baiknya Rafizi bertanding dan pasukannya melancarkan kempen brutal ke atas Azmin. Banyak rahsia telah terdedah. Terutama mengenai cara-cara Azmin melakukan rundingan pintu belakang di Selangor. Terbaharu melantik anak didik beliau Amiruddin Shari sebagai menteri besar sedangkan pemimpin tertinggi PH telah pun menghantar surat kepada Sultan Selangor mencalonkan mana Dr Idris Ahmad, Adun Ijok sebagai MB.
Kempen Invoke juga mendedahkan bagaimana gigihnya usaha Anwar dan Dr Wan Azizah menggadaikan rumah kediaman mereka di Bukit Segambut untuk membayar wang deposit calon-calon PKR dalam PRU lalu. Rafizi membantu berpuluh-puluh calon yang ditaja Invoke. Namun tidak pula kedengaran kem Azmin menyenaraikan bantuan kepada calon-calon yang diputuskan ibu pejabat PKR.
Tugas berat Anwar
Walau apa pun, tugas teramat berat menanti Anwar sebagai presiden PKR adalah menyatukan kedua-dua kem ini. Anwar dijangka hanya akan menjadi orang tengah tetapi tidak akan mampu mendamaikan antara Azmin dan Rafizi.
Ditambah pula Rafizi dalam kenyataan terbaharunya tidak akan menerima sebarang jawatan dalam PKR. Mungkin tawaran terbaik bagi Rafizi adalah kembali memimpin Biro Strategi parti itu. Namun dengan mentaliti kem Azmin bahawa Invoke di belakangnya, tidak mungkin Rafizi mampu menggerakkan jentera parti.
Malah kesukaran untuk mendapatkan kata sepakat dan kem Azmin memilih untuk mendegar dari pihak manakah datang arahan sebelum mengikutinya adalah punca Rafizi menubuhkan Invoke beberapa tahun lalu.
Dengan cita-cita kem Azmin mahu melihat pemimpin mereka menjadi PM selepas Anwar sebagaimana dibayangkan Zuraida Kamaruddin dalam ucapan di Kongres Wanita PKR maka keadaan mungkin tidak memihak kepada Anwar. Beliau akan berada dalam kedudukan tawar-menawar berhadapan pemimpin bawahan dalam memberi arahan. Tidak sebagaimana di dalam Amanah, DAP atau Bersatu yang mana semua arahan presiden diikuti secara total.
Anwar mungkin akan memilih untuk menyerahkan kerja-kerja tertentu kepada kem Invoke dan kerja lainnya kepada kem kartel. Sangat hebat sekiranya Anwar berjaya menggerakkan kembali jentera ibu pejabat PKR dan arahan kepada jentera itu diikuti oleh kedua-dua kem. Hanya masa akan menentukan sama ada Anwar berjaya mengharunginya atau pun keadaan akan berterusan sebagaimana sebelum ini.
Ujian pertama untuk itu mungkin di sekitar isu penubuhan koperasi untuk ahli PKR yang akan diusahakan Rafizi. Sekiranya pemimpin dari kem Azmin menjadi ahlinya maka hal itu adalah sangat baik. Namun jika kartel menubuhkan instrumen lain untuk menyaingi idea Rafizi maka PKR akan tenggelam dalam sistem dua kem buat selama-lamanya.

Artikel ini adalah pendapat peribadi pengarang dan 

tidak mewakili pendirian rasmi WRLR

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA