Homestay untuk di sewa

HOMESTAY UNTUK DI SEWA

Rumah Tradisional " d'Waris Inap Desa " ini sedia untuk menerima tempahan. Aras Bawah lobby, ruang rehat, bilik tidur 1, ruang makan, bilik air dan tandas 2 unit. Aras 1, bilik tidur 2 & 3 dan ruang rehat. Kadar sewaan RM200 semalam, lain-lain keperluan mengikut permintaan. Untuk tempahan hubungi 019-5783147, 019-4358117, 05-6311126 atau email ke gajahmenta@gmail.com. Lokasi di Lot 3216, Kampong Bandar Lama, Kg. Gajah.

Monday, November 12, 2018

SURAT KHABAR AKAN MATI


Pada Isnin lalu, 8 Oktober, Radio BFM menyiarkan wawancaranya bersama Ketua Pengarang The Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan yang menyatakan bahawa akhbar beliau akan menghentikan penerbitannya dalam bentuk cetak. Tetapi ia akan terus menerbitkannya dalam bentuk digital. Menurut beliau, zaman akhbar cetak sudah berakhir.
Jadi menjelang tahun baharu 2019, akhbar harian bercetak bahasa Melayu dan Inggeris di Semenanjung Malaysia tinggal Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian, Kosmo, Harian Metro, The New Straits Times dan The Star.
Setiap kali sebuah akhbar cetak tutup, ia merupakan pukulan kepada pengedarnya. Menurut pengedar yang saya tanya, pendapatan mereka terus merosot sejak tahun-tahun ke belakangan ini. Edaran akhbar yang ada telah merosot banyak. Banyak pengedar tidak lagi dapat bertahan. Lebih-lebih lagi majalah juga sudah banyak ditutup.
Banyak penjual akhbar dan majalah termasuk rangkaian besar seperti Mynews mengubah model perniagaan kepada menjadi kedai menjual barangan harian. Tetapi bagi pengedar orang perseorangan, menjual akhbar sudah tidak berbaloi. Apabila mereka bersara tidak akan ada siapa yang akan mengambil alih. Semakin kurang pengedar, bertambah sukar untuk akhbar tersebar. Akhirnya tidak lagi menguntungkan untuk mencetak akhbar.
Wong juga menyebut bahawa bukan saja para pekerja akan hilang pekerjaan tetapi juga pegawai unit kawalan penerbitan akhbar. Apabila akhbar cetak sudah tidak ada, permit penerbitan dan pegawai yang memantau serta mengawalnya juga tidak relevan. Akta penerbitan dan percetakan juga tidak relevan.
Saya ketika bekerja dalam akhbar cetak membincangkan perkara ini setiap tahun sejak 1998. Tetapi kematian akhbar sudah dijangka sejak tahun 1995 lagi. Dunia industri persuratkhabaran membincangkan perkara ini setiap tahun. Maka mereka berusaha menggantikan peranan akhbar cetak dengan akhbar digital, akhbar atas talian dan portal berita. Semua usaha itu tidak berjaya kerana pendapatan yang diperoleh tidak sampai kepada apa yang selama ini dinikmati oleh akhbar cetak.
Kutipan iklan tidak cukup menampung operasi kewartawanan. Maka peruntukan bagi pencarian berita termasuk siasatan terpaksa dipotong. Akhirnya syarikat-syarikat media ini tidak mampu untuk menghantar pemberita ke medan-medan perang dan bencana.
Ada usaha dibuat dalam bentuk convergence, di mana disatukan usaha mencari berita untuk dibahagi-bahagikan kepada pelbagai platform seperti akhbar cetak, radio, televisyen dan atas talian. Tetapi usaha ini tidak dapat menyelamatkan akhbar cetak. Ajal akhbar cetak tidak boleh dihalang lagi.
Dengan ketiadaan akhbar cetak juga, maka kewartawanan juga berakhir. Apa yang dipersembahkan oleh akhbar cetak adalah kewartawanan sebenar. Berita dan rencana boleh ditulis panjang walaupun ada kekangan ruang. Kekangan ruang itu menyebabkan tumpuan pembacaan boleh dibuat. Ironinya, dalam digital, tidak ada kekangan ruang tetapi kemampuan pembaca untuk memberi tumpuan pula sudah hilang.
Kerja membaca di atas gajet, walaupun dalam bentuk skrin komputer laptop dan tablet adalah jauh lebih sukar daripada menatap kertas cetak. Lambakan maklumat yang mudah diperoleh dengan cepat dala bentuk multi media memburukkan lagi keadaan. Otak manusia tidak dapat mengejar kecepatan maklumat dan menghadam maknanya dengan mendalam.
Matinya akhbar cetak turut membawa kepada berakhirnya kewartawanan dan pembacaan mendalam.
Wong juga menyentuh tentang kemampuan seseorang untuk membaca sudah menjadi begitu rendah kerana gejala short attention span atau daya tumpuan pendek. Katanya, untuk membaca satu artikel 1,000 perkataan pun susah bagi ramai orang.
Saya bersetuju dengan beliau. Artikel ini sendiri panjangnya 1,000 perkataan. Adalah dipercayai mereka yang membaca artikel sepanjang ini adalah generasi yang membesar dengan surat khabar. Mereka masih mampu untuk membaca artikel sepanjang ini. Tetapi bagi mereka yang bukan kuat membaca, tentulah ia merupakan suatu yang sukar.
Pada masa ini kelihatannya banyak orang tidak dapat memberi tumpuan kepada sesuatu perkara itu dengan begitu lama. Mereka berasa jemu dan terus beralih kepada perkara lain.
Maknanya, penurunan daya tumpuan ini berlaku terhadap banyak kegiatan. Mereka tidak boleh menonton tayangan begitu lama. Apatah lagi dengan membaca. Mereka tidak boleh membaca novel yang tebal. Malah hendak menghabiskan satu cerpen 1,000 cerpen pun sukar. Cerpen itu pun sudah bererti cerita pendek. Maka tidak hairanlah kini timbul certot atau cerita kontot.
Penurunan daya pembacaan ini beriringan dengan gelombang multi media yang mula muncul pada tahun 1990-an. Multi media bermaksud media pelbagai, iaitu dalam bentuk bunyi, gambar dan video. Manusia sudah tidak bergantung pada tulisan untuk maklumat, tetapi dalam bentuk pelbagai media. Kemampuan membaca terus turun mendadak hinggakan bukan saja mereka tidak berupaya membaca kenyataan dan transkrip wawancara, yang tentunya panjang, tetapi sekadar tajuk-tajuk berita.
Dari situ mereka terus membuat kesimpulan. Inilah bahaya rendah daya tumpuan. Maka tidak hairanlah berlaku kontroversi terhadap pada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof berhubung dengan wawancaranya dengan akhbar The Star. Banyak orang seperti biasa membaca tajuk saja dan terus membuat reaksi. Mereka tidak membaca isi wawancara secara terperinci atau tunggu penjelasan.
Akhbar The Star bukanlah akhbar yang pembaca utamanya orang Islam. Kalau pada zaman sebelum digital dulu, tentu reaksi seperti ini tidak timbul, sekurang-kurangnya tidak secepat seperti ini. Orang akan membaca perlahan-lahan, bukan saja tajuk tetapi isi wawancara. Orang lebih berhati-hati untuk mengeluarkan komen.
Kemudian pada zaman pra-digital juga, orang ramai yang kurang pemahaman tidak dapat mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina melalui ruangan komen dan posting media sosial.
Tetapi kini berita The Star tersebar dengan cepat melalui Internet. Pembaca pula terus membuat kesimpulan daripada tajuk berita. Rumusan itu dibuat melalui prasangka dan pandangan buruk yang mereka miliki sebelum ini terhadap sesuatu atau seseorang. Banyak kali pula mereka tidak membaca pun tajuk itu. Malah mereka hanya komen di atas komen orang. Mereka tidak meneliti berita asalnya.
Ada pihak pula menyalahkan The Star. Tetapi itupun kurang tepat. Lebih-lebih lagi ada orang yang menyalahkan wartawan yang melakukan wawancara itu. Semua akhbar ada editornya. Tafsiran wartawan adalah suatu perkara. Begitu juga dengan tafsiran para editornya. Tetapi yang lebih penting ialah tafsiran pembaca itu sendiri.
Kalau pembaca tidak mahir membaca akhbar, atau tidak biasa membaca wawancara, maka itulah berlakunya pemahaman kurang tepat. Pembacaan adalah kerja intelektual. Ia tidak sama dengan bersembang atau me
mbaca catatan catatan pendek dalan twitter dan posting facebook. Pembaca perlu toleran, bersabar dan bersangka baik.
Tetapi dalam hal ini, pada saya ia bukan sekadar reaksi terhadap wawancara itu. Di belakang itu sudah ada prasangka dan kebencian terhadap apa yang diwakili oleh Dr Mujahid. Beliau adalah seorang menteri kerajaan Pakatan Harapan dari Parti Amanah Negara.
Apa-apa saja yang dinyatakan oleh beliau, akan dicari segala kesalahan dan keumdian diburukkan. Sememangnya Dr Mujahid mempunyai gagasannya sendiri dalam kehidupan beragama. Apa yang dinamakan sebagai Rahmatan Lil Alamin sudah menjadi dasar kerajaan Pakatan Harapan. Ada sebahagian masyarakat tidak suka pada pendekatan ini. Tetapi tentunya beliau membuat pertimbangan yang sewajar mungkin sebagai menteri yang bertanggungjawab pada urusan hal ehwal agama.
~ Gambar sekadar hiasan
mDATELINE

No comments:

Post a Comment


Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA